UMNO Kekal Perlembagaan Jaga Agama, Bangsa Dan Negara, Tidak Pernah Menukarnya – Suraya

PENGERANG, 16 Mei – Amanat yang disampaikan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada ulang tahun UMNO yang ke-77 telah menegaskan bahawa parti ini masih lagi kekal berteraskan Perlembagaan dan tidak pernah berhajat untuk menukarnya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tiang, Datuk Suraya Yaacob berkata sememangnya UMNO tidak pernah berkompromi apatah lagi menggadaikan maruah agama,bangsa dan agama dalam apa juga keadaan.

“UMNO masih mengekalkan lagi hala tuju utamanya iaitu menjaga agama, bangsa dan negara. Ramai yang berpendapat berbeza apabila UMNO berada di dalam Kerajaan Perpaduan dan mereka beranggapan bahawa UMNO telah meninggalkan Perlembagaan UMNO.

“Mana mungkin kita meninggalkan Perlembagaan UMNO sedangkan asasnya itu adalah menjaga agama, bangsa dan negara serta ditambah lagi dengan menjaga Raja-raja Melayu.

“Kita tidak pernah pun berhasrat meninggalkan Perlembagaan UMNO iaitu asas penubuhan parti ini dan harap bukan sahaja yang mereka cukup memfitnah tetapi memesongkan pemahaman dalam gejala agama, bangsa dan negara ini dipengaruhi dan dihasut dengan gejala yang tidak baik,” katanya kepada UMNO Online, di sini.

Tambah Suraya, ada parti yang cuba memfitnah UMNO apabila mengatakan parti ini bergabung dengan Kerajaan Perpaduan.

“Ini adalah tohmahan fitnah yang sengaja hendak menjatuhkan dan mengurangkan kredibiliti Presiden parti dan juga Timbalan Perdana Menteri. Kerajaan Perpaduan ini bermaksud kerajaan ‘coalition’ iaitu penyatuan beberapa parti. Penyatuan ini tidak menggunakan perjanjian untuk menyatukan parti tetapi ia hanya untuk menubuhkan kerajaan.

“Sebelum menubuhkan ‘coalition’ kerajaan, UMNO telah membuat satu ‘coalition agreement’ dan dalam isi kandungan itu telah menyatakan perlu menjaga agama Islam sebagai agama rasmi, orang-orang Melayu, Raja-Raja Melayu dan semuanya telah termaktub di dalamnya.

“Kalau ianya tidak dipersetujui oleh parti-parti yang ada dalam Kerajaan Perpaduan ini iaitu 19 parti yang menubuhkan Kerajaan Perpaduan dan bukannya hanya ada UMNO dan PKR,” jelasnya.

Dalam masa yang sama Suraya mengharapkan agar akar umbi UMNO akan bertabah kerana akan melalui satu fasa yang lebih mencabar.

“Kita tidak boleh hanya satu bangsa berada di Malaysia ini. Kita perlu berkerjasama dan memahami adanya bangsa lain dan ada juga agama lain didalam negara ini tetapi tidak ada maksudnya UMNO hendak mengurangkan semangat Melayunya dan mengurangkan Islamnya.

“Bangsa Melayu adalah bangsa asal dalam negara tetapi mahukan bangsa lain bersama dengan kita dan mereka juga perlu bersama dengan kita”, ujarnya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.