Pemuda UMNO Gesa Penjelasan Tuntas KDN Berkenaan Isu Kalimah Allah

KUALA LUMPUR, 16 Mei – Pemuda UMNO Malaysia mendesak Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk menjelaskan secara terperinci berkenaan keputusan kerajaan menarik balik rayuan di mahkamah berhubung penggunaan kalimah Allah oleh penganut bukan Islam.

Ketuanya, Dr Mohamad Akmal Saleh berkata ini adalah mengenai kesucian agama Islam dan mereka tidak teragak-agak untuk turun ke jalanan bagi menyuarakan bantahan berkenaan isu ini.

“Kita mohon satu penjelasan yang tuntas dan tepat dari KDN perlu diberikan kepada seluruh rakyat.

“Jika tidak mahu kami dan seluruh rakyat turun ke jalanan untuk mempertahankan isu ini.
Ini bukan soal politik, ini soal kesucian agama,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Sementara itu Ketua Pemuda UMNO Negeri Sembilan, Mohamad Fadil Md Zin turut sama menyuarakan kekesalan dan menentang sekeras-kerasnya keputusan penggunaan kalimah Allah oleh penganut bukan Islam.

“Menentang tindakan oleh Kerajaan Malaysia ini yang dilihat tidak sensitif terhadap isu kesucian agama Islam!

“Pemuda UMNO Negeri Sembilan tidak akan berganjak walau seinci pun terhadap perkara yang boleh menggugat kesucian agama Islam dan kalimah Allah.

“Sebagai pemimpin Islam, kita wajib memastikan agar kesucian dan maruah agama sentiasa terpelihara dan kewajipan ini merentasi sebarang fahaman dan doktrin politik,” katanya.

Beliau dalam pada itu turut sama menyeru kepada seluruh umat Islam untuk menyuarakan bantahan terhadap tindakan kerajaan.

“Pemuda UMNO Negeri Sembilan berserta jutaan lagi umat Islam tidak akan teragak-agak untuk turun ke jalanan jika pihak Kerajaan gagal untuk menyelesaikan kegusaran dan masalah ini. Allahuakhbar,” katanya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.