Kalimah Allah Hanya Eksklusif Untuk Umat Islam – Majlis Ulama UMNO

KUALA LUMPUR, 16 Mei – Majlis Ulama UMNO berpandangan, tiada isu berbangkit bahawa kalimah Allah boleh digunakan oleh agama lain dalam konteks di negara ini.

Menerusi suatu kenyataan dilakukan, mereka berpendirian bahawa Hakim Mahkamah Tinggi dalam kes Jill Ireland ini telah terkhilaf membuat keputusan dan sangat wajar untuk kes ini diteruskan di peringkat Mahkamah Rayuan.

“Adapun isu kes Mahkamah Tinggi melibatkan Jill Ireland mencabar tindakan pegawai kastam yang merampas lapan cakera padat audio pendidikan Kristian daripada Indonesia yang mempunyai kalimah Allah pada tajuknya pada 11 Mei 2008 dengan dakwaan bahawa CD tersebut untuk kegunaan peribadinya, ia tetap tidak akan mengubah hak mutlak orang Islam menggunakan kalimah Allah dalam negara ini.

“Sebagaimana disahkan oleh Mahkamah Persekutuan. Malah dalam penghakiman kes Jill Ireland ini Hakim menegaskan beliau tidak akan menyentuh mengenai hak penggunaan kalimah Allah bagi orang Islam yang menjadi kontroversi,” katanya.

Majlis Ulama UMNO dalam pada itu berharap kerajaan melakukan yang terbaik selaras dengan peruntukan undang-undang bagi membetulkan kekhilafan di Mahkamah Tinggi berkenaan penggunaan kalimah Allah.

“Apatah lagi dengan adanya enakmen-enakmen peringkat negeri yang memberi perlindungan terhadap hak eksklusif umat Islam di Malaysia dalam menggunakan kalimah Allah.

“Isu larangan penggunaan kalimah Allah oleh penganut agama selain Islam di Malaysia telah dinoktahkan oleh Mahkamah Rayuan dipengerusikan oleh Tan Sri Apandi Ali pada 2013 dan disahkan oleh Mahkamah Persekutuan yang dipengerusikan oleh Tun Arifin Zakaria pada 2014 dalam kes Menteri Dalam Negeri v Titular Roman Catholic Archbishop of Kuala Lumpur,” ujar mereka. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.