Akur Keputusan Pucuk Pimpinan, Yang Penting Parti Capai Kemenangan – Jalaluddin

SEREMBAN, 16 Mei – Pengerusi UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata pihaknya menyerahkan kepada pucuk pimpinan parti berkaitan keputusan bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Katanya beliau sedia untuk bertanding seandainya parti memberikan tanggungjawab untuk bertanding di peringkat DUN kelak.

“Kalau saya diperlukan untuk bertanding dalam PRN nanti, insya-Allah saya bersedia. Saya menghormati dan dengan ini akan menurut segala kehendak juga arahan daripada ketua parti saya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri Pertubuhan Pesara Kerajaan 1 Malaysia (Kupekmas) peringkat kebangsaan di sini semalam.

Hadir sama, Presiden Kupekmas Malaysia, Datuk Omar Osman.

Kata Jalaluddin lagi, apa yang penting adalah kemenangan untuk parti pada PRN nanti.

“Bagi saya yang penting ialah ketika waktu saya dilantik menerajui UMNO di Negeri Sembilan, kita harus menang dalam PRN. Berapa jumlah kerusi yang ditandingi insya-Allah akan berjaya dan menang.

“Itu prosedur operasi standard (SOP) dan naratif yang saya berikan kepada pimpinan UMNO di setiap bahagian untuk bekerja lebih kuat,” katanya.

Dalam perkembangan sama mengulas mengenai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di negeri berkenaan yang memberi bayangan untuk tidak bertanding pada PRN nanti, Jalaluddin menambah parti tersebut mempunyai calon yang sesuai untuk diketengahkan. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.