PRN: Pembahagian Kerusi BN-PH Di Kedah Hampir Capai Kata Sepakat – Mahdzir

KUALA LUMPUR, 15 Mei – Rundingan pembahagian kerusi antara UMNO/Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) Negeri Kedah bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) sudah hampir mencapai kata sepakat serta berjalan dengan baik.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, banyak program dan usahasama yang akan dilaksanakan oleh Pimpinan Perpaduan Negeri Kedah bagi mengeratkan hubungan jentera antara dua parti gabungan.

“Rundingan kerusi di antara BN-PH Kedah sudah hampir selesai dan perundingan berjalan dalam keadaan yang sangat baik di antara kedua-dua parti.

“Banyak program dan usahasama yang dilaksanakan oleh Pimpinan Perpaduan Negeri Kedah bagi mengeratkan lagi hubungan antara kedua jentera sebagai persiapan menghadapi PRN Kedah.

“Sebagai contoh, Sidang Meja Bulat Pimpinan Perpaduan Kedah, Ceramah Madani sekitar Negeri Kedah dan Konvensyen Perpaduan Negeri Kedah,” katanya menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Mengulas lanjut, Mahdzir turut memaklumkan bahawa program-program ini dilaksanakan dengan objektif untuk meningkatkan persefahaman jentera dan menyebarkan informasi serta hala tuju Majlis Perpaduan Negeri Kedah kepada rakyat.

“Antara objektif program dan usahasama ini adalah untuk mengeratkan kerjasama di antara BN-PH dan Majlis Perpaduan Negeri Kedah serta meningkatkan persefahaman jentera.

“Selain itu, program ini turut membawa objektif untuk menyebarkan informasi, hala tuju dan perancangan utama Majlis Perpaduan Negeri Kedah kepada rakyat disamping menyediakan peluang kepada mereka bagi mendapatkan maklumat lebih tepat,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan bahawa Konvensyen Perpaduan Kerajaan Negeri Kedah akan diadakan pada 21 Mei 2023 dan bakal dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

“Konvensyen Perpaduan Negeri Kedah akan diadakan di Ampang Business Centre, Alor Setar pada 21 Mei 2023.

“Konvensyen Perpaduan Negeri Kedah akan disertai oleh kesemua parti gabungan dan dianggarkan jumlah peserta yang akan hadir adalah sebanyak 1,300 orang.

“Timbalan Perdana Menteri merangkap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi akan merasmikan Konvensyen Perpaduan Negeri Kedah,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.