Ekonomi Negara Dan Rakyat Saling Berkaitan, Perlukan Sebuah Kerajaan Stabil – Johari

KUALA LUMPUR, 15 Mei – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani menekankan bahawa ekonomi rakyat serta ekonomi negara saling berkaitan antara satu sama lain.

Berucap mewakili Barisan Nasional (BN) pada Bicara Rakyat sempena Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan semalam, beliau melihat kedua-duanya amat penting demi kepentingan bersama.

“Berkaitan ekonomi rakyat… apa yang rakyat nak dan apakah yang rakyat mahukan. Siapa pun yang jadi kerajaan rakyat mahukan empat perkara asas yang perlu diutamakan.

“Pertamanya tidak kira kumpulan mana sekalipun baik B40, M40 dan dan sebagainya lagi mereka mahukan makanan. Kerajaan perlu pastikan ‘food security’ cukup… soal ayam, telur dan sebagainya lagi adalah keperluan yang perlu dipastikan bekalannya mencukupi.

“Keduanya mereka ingin melihat bagaimana sebuah kerajaan menyediakan serta memberi kualiti pendidikan dari segi sekolah rendah, menengah, universiti, TVET (Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional) dan sebagainya.”

Seterusnya jelas Johari, adalah peluang pekerjaan dan tidak ada gunanya keluar universiti serta institusi pendidikan tetapi tidak dapat pekerjaan.

“Seterusnya adalah soal perumahan… mereka mahukan rumah untuk dijadikan tempat tinggal dan pada masa yang sama jalan raya yang efisien serta elok. Selain itu mereka juga ingin pastikan rumah yang mereka duduk mempunyai elektrik dan air serta internet. Inilah asas yang ada pada kaca mata rakyat,” katanya.

Johari antara panel yang berucap selain daripada wakil-wakil parti lain daripada PKR, Amanah serta GPS yang membicarakan tajuk ‘Memperkasa Ekonomi Rakyat’.

Berkaitan ekonomi negara pula, Johari yang juga Ahli Parlimen Titiwangsa menjelaskan sesebuah kerajaan mestilah berkebolehan membawa pelaburan sama ada dalam negara atau daripada luar negara.

Jelasnya pelaburan ini cukup penting kerana para pelabur ataupun usahawan dan sebagainya lagi akan membawa ruang perniagaan dan sekaligus mewujudkan peluang pekerjaan.

“Selain memberi peluang pekerjaan, pada masa yang sama para pelabur luar dan sebagainya lagi akan memberikan pendapatan kepada kerajaan menerusi cukai dan daripada hasil inilah kerajaan akan berbelanja menerusi pembinaan infrastruktur untuk rakyat.

“Kerajaan belanja membina infrastruktur seperti jalan dan sebagainya. Kerajaan juga perlu membina sekolah serta institusi pendidikan bersesuaian dengan apa yang rakyat mahu. Begitu juga kerajaan perlu membina hospital hasil daripada pendapatan ini untuk jaga kesihatan rakyat,” tambahnya.

Justeru tegas beliau kesimpulannya kedua-dua saling berkaitan dan untuk menjayakan  hakikat ini sudah pasti memerlukan sebuah kerajaan yang stabil.

“Ekonomi rakyat dan negara saling berkaitan dan untuk jayakan ini mesti pastikan bahawa sebuah kerajaan dapat beri kestabilan politik dalam negara seterusnya ada integriti dan kredibiliti selain kompeten untuk mentadbir sesebuah kerajaan,” ujarnya. – UMNO Online


Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di linktr.ee/umno #UMNOBangkit