Ahmad Zahid Cadang Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan Peringkat Negeri Diadakan

CYBERJAYA, 15 Mei – Melihat keserasian antara pelbagai parti politik dapat diwujudkan pada Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan 2023, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini mencadangkan agar konvensyen Kerajaan Perpaduan berkenaan diadakan di peringkat negeri.

“Saya lihat harus ada tindakan susulan. konvensyen peringkat negeri dicadangkan supaya diadakan supaya akar umbi turut dapat menyertai bukan sahaja mendengar tetapi memberi pandangan yang pelbagai, selain harus kita buka kepada orang ramai untuk menyertainya,” kata Presiden UMNO itu.

Ahmad Zahid berkata keserasian antara pelbagai parti politik yang wujud pada Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan 2023 semalam, yang dihadiri lebih 3,500 undangan daripada 19 parti yang membentuk kerajaan, menjadi antara elemen penting untuk menghadapi pilihan raya negeri (PRN) kelak.

“Bukan setakat pemimpin di atas pentas tetapi perwakilan daripada pelbagai parti yang berada dalam dewan itu bukan hanya mendengar tetapi juga berinteraksi antara satu sama lain. Yang kita akan hadapi nanti ialah PRN, jadi keserasian ini penting untuk kita laksanakan,” katanya.

Bercakap kepada media selepas menghadiri Majlis Jamuan Hari Raya Majlis Profesor Negara (MPN) di sini hari ini Ahmad Zahid berkata soal kemajmukan merupakan satu hakikat di Malaysia, justeru kepelbagaian, agama dan budaya harus disantuni untuk meraikan perbezaan antara sama sama lain.

“Hakikat politik kita harus melihat dari segi dinamika, bukan kita mahu fokus kepada sesebuah parti atau tokoh tapi kita lihat hakikatnya bahawa kemajmukan ini harus diakui sebagai sesuatu yang tidak boleh dielakkan.

Dan kita mahu negara kita ini menjadi sebuah negara yang progresif, kestabilan politik yang baik dan pada masa sama pertumbuhan ekonomi untuk kesejahteraan rakyat harus jadi matlamat,” katanya.

Mengulas pandangan bekas pemimpin UMNO Tan Sri Annuar Musa yang menjangkakan UMNO akan menerima kesan buruk selepas ini ekoran kehadiran puak “sosialis” dan “liberal” ke konvensyen itu, Ahmad Zahid berkata : “Saya tidak akan menghormati pandangan peribadinya.”

Annuar menerusi hantaran di laman Facebook semalam berkata kehadiran pelbagai pihak termasuk pihak sosialis, liberal dan parti DAP ke konvensyen berkenaan akan mendorong jutaan rakyat termasuk ahli UMNO meninggalkan UMNO dan menolak parti itu dalam pilihan raya akan datang. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.