UMNO/BN Pelengkap Kerajaan Perpaduan… Terus Maju Demi Rakyat – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 15 Mei – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan bahawa biarpun kerusi Parlimen UMNO/Barisan Nasional (BN) ada 30 namun UMNO/BN adalah pelengkap kepada Kerajaan Perpaduan hari ini.

Katanya, jika Pakatan Harapan (PH) ada 82 kerusi namun tanpa ada 30 maka tidak ada Kerajaan Perpaduan.

“Yang kami (UMNO/BN) fikirkan bukan kepentingan tetapi fikir tentang mudarat, manakah yang lebih besar antara pihak sana dengan pihak sini dan kami fikir mudarat yang kecil adalah dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan insya-Allah mudarat itu telah menjadi satu keberuntungan kepada rakyat keseluruhannya.

“Terjemahkanlah amanah ini dan insya-Allah kami akan terus mendukung Kerajaan Perpaduan, Kerajaan Madani,” katanya.

Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dalam Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan yang bertemakan ‘MADANI Mewajahi Masa Depan Malaysia’ dengan warna putih melatari tema pakaian di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, hari ini.

Kata Ahmad Zahid, UMNO/BN sengaja memilih Dewan Merdeka untuk mengadakan konvensyen iaitu bukan hanya untuk melakar sejarah baharu politik di negara ini.

“Dulu ramai yang sangat fobia dengan Dewan Merdeka ini … itu dulu dan sekarang realitinya kita telah membentuk politik baharu, politik Kerajaan Madani.

“Dulu ada yang memandang warna merah, apatah lagi warna biru sangat fobia dan hari ini tidak ada warna yang berbeza, hanya putih. Ini memperlihatkan kita sedang melakar masa depan politik baharu.

“Yang kita junjung ialah kemajmukan, kepelbagaikan, yang kita pertahankan ialah keindukan, yang kita perkukuhkan ialah apa yang ada dalam Perlembagaan maka yang akan menterjemahkannya adalah Perdana Menteri.”

Justeru katanya, UMNO dan BN meminta jangan lagi pernah menoleh ke belakang.

“Jangan menoleh kebelakang. Ya, di sana ada orang yang tidak suka dengan kita, ada orang yang mengkritik kita… pedulikan semua itu. Rakyat mahu Kerajaan Perpaduan terus maju demi rakyat.

“Kita lihat dalam situasi yang ada, kemajkmukan dijadikan asas untuk kita bergerak, ya kita menghormati kepelbagaian dan tidak semestinya apabila kita memperjuangkan agenda keindukan, agama dan bangsa maka kita melupakan bangsa dan agama lain. Ini telah terbukti dalam tempoh enam bulan pertama ini.”

Ujar Ahmad Zahid, di hadapan ini rakyat di seluruh negara mahu semua dengan parti-parti yang ada terus memacu negara untuk maju ke hadapan.

“UMNO dan BN mohon Datuk Seri kembalikan Malaysia untuk berada di barisan hadapan semula antara negara-negara Asean.

“Datuk Seri jangan khuatir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah, saya dan rakan-rakan dalam kepimpinan pasti akan terus mendukung cita-cita murni di pentas antarabangsa,” katanya.

Katanya, sokongan terhadap Kerajaan Perpaduan dibuktikan apabila beliau menyaksikan sendiri dalam Majlis Hari Terbuka Aidilfitri yang telah kita hadiri di seluruh negara.

“Saya amat yakin jika kita terus bersama sederap membantu Perdana Menteri, dan saya yakin idealisme telah ditermahkan melalui dasar-dasar yang baik maka saya yakin Kerajaan Madani akan melepasi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16,” katanya lagi. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.