Tekad Wanita Perpaduan Simbolik Penyatuan Dukung Kerajaan Perpaduan

KUALA LUMPUR, 14 Mei – Konvensyen Wanita Kerajaan Perpaduan hari ini menyaksikan acara menandatangani Tekad Wanita Perpaduan.

Ianya sebagai simbolik kepada penyatuan wanita dalam 19 parti-parti yang mendukung Kerajaan Perpaduan.

Upacara menandatangi tekad tersebut dilakukan oleh ketua-ketua wanita, turut sama disaksikan oleh Presiden UMNO yang juga Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Pengerusi Sekretariat Kerajaan Perpaduan, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Berikut lima tekad yang digariskan pada konvensyen berkenaan:

1. Mempertahankan Perlembagaan Persekutuan dengan memastikan kesepakatan rakyat agar masyarakat majmuk di Malaysia menjalani kehidupan dalam suasana harmoni dan sejahtera

2. Menjadi peneraju utama dalam pembangunan komuniti masyarakat Madani.

3. Melaksanakan agenda pemerkasaan Wanita bagi memastikan wanita memainkan peranan dalam pertumbuhan ekonomi negara.

4. Memastikan pembabitan sekurang-kurangnya 30 peratus wanita dalam membuat keputusan di setiap peringkat demi memastikan hak serta kepentingan wanita terpelihara dalam konteks mengupaya dan mencapai kesaksamaan.

5. Memastikan wanita mendapat pembelaan dan perlindungan dari aspek kebajikan, keselamatan, pendidikan, sosial dan hak asasi manusia.

Bacaan ikrar juga turut sama dilakukan sebagai pelambangan wanita yang menjadi tulang belakang kepada parti dinaungi.

Ikrar tersebut diketuai Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri.

Terdahulu, 11 pemimpin wanita mengambil bahagian dalam konvensyen kali ini dalam membicarakan hal-hal kepentingan wanita.

Majlis pada kemuncaknya menyaksikan lima kepimpinan wanita berucap antaranya Pemangku Ketua Wanita Warisan, Norfaizah Chua; Wakil Wanita Gabungan Rakyat Sabah, Datuk Flovia Ng; Ketua Wanita Gabungan Parti Sarawak, Datuk Seri Hajah Fatimah Abdullah; Pengerusi Wanita Barisan Nasional, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad dan Ketua Wanita Pakatan Harapan, Aiman Athirah Sabu. – UMNO Online


Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di linktr.ee/umno #UMNOBangkit