Konvensyen Pemuda Kerajaan Perpaduan Cipta Sejarah Politik, Masa Hadapan Baharu Negara – Muhammad Akmal

KUALA LUMPUR, 14 Mei – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Dr Muhammad Akmal Saleh berpandangan bahawa ini adalah masa untuk mencipta sejarah politik baharu sejajar dengan keberadaan Kerajaan Perpaduan hari ini.

Jelasnya, masa depan negara bergantung sepenuhnya kepada generasi pada hari ini terutamanya dalam mencipta gaya politik baharu.

“Kita selalu bercakap mengenai soal perbezaan, tidak sama ideologi tetapi kita jarang-jarang sekali bercakap mengenai apakah persamaan di antara kita. Tadi YB (Yang Berhormat) Kevin kata ini kali pertama beliau datang ke sini dan mereka merasakan bahawa dah ada chemistry.

“Inilah kehebatan yang direncanakan Allah. Hari ini, orang muda kena tunjukkan gaya politik yang baharu kerana masa depan negara kita ini bergantung kepada generasi kita pada hari ini.

“Apa yang telah berlaku, sudah-sudahlah. Orang di luar sana hampir jemu dengan permainan politik yang telah berlaku. Sudah berapa kali kita lihat ketidakstabilan negara kita hari ini. Kita tengok bagaimana keadaan ekonomi kita berada,” katanya ketika menjadi panel dalam sesi wawancara bertajuk ‘#BinaBersama’ sempena Konvensyen Pemuda Perpaduan yang diadakan pagi tadi di Pusat Dagangan Dunia (WTC), di sini.

Turut hadir sebagai panel dalam sesi wawancara yang sama ialah Ketua Wira Warisan, Mohd Ismail Ayob, Ketua Pemuda GRS, Jonnybone Kurum, Timbalan Ketua Pemuda GPS, Lukanisman Awang Sauni dan Ketua Angkatan Muda Harapan, Dr Kelvin Yee Lee Wuen.

Ujarnya, anak muda yang berada dalam Kerajaan Perpaduan hari ini perlu menunjukkan bahawa mereka tidak bercakap soal ekstremisme bahkan mencari persamaan.

“Jadi, sudah tentu hari ini permulaan kita selalu bercakap orang muda kena baca dan fahami sejarah tetapi sebenarnya apa yang lebih penting, orang muda kena cipta sejarah. Itu jauh lebih penting.

“Jadi, sahabat-sahabat pemuda sekalian ini masa kita mencipta sejarah politik yang baharu. Hari ini, kita kena tunjukkan kepada rakyat di luar sana bahawa orang muda di dalam Kerajaan Perpaduan tidak lagi bercakap soal ektremisme, tetapi kita kena bercakap soal mencari kesamarataan dan persamaan demi negara tercinta,” katanya lagi.

Menurutnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau, perbezaan ideologi yang terdapat dalam Kerajaan Perpaduan ini haruslah diuruskan dengan baik.

“Kalau kita nak kekal dan duduk bersama dalam Kerajaan Perpaduan ini mesti mempunyai tiga perkara. Pertama, kita mesti menghormati antara satu sama lain. Kedua, kita mesti memahami antara satu sama lain dan perkara yang paling penting adalah kita mesti mempercayai antara satu sama lain.

“Tugas kita adalah untuk membangunkan negara ini dengan politik dan pendekatan yang jauh lebih baik. Kita tiada masalah sekiranya terdapat perbezaan tetapi ianya harus diurus dengan cara lebih baik. Mencari perbezaan lebih mudah daripada kita nak mencari persamaan,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.