Anak Muda Harus Difahamkan Bahawa Kestabilan Politk Bakal Menjamin Masa Hadapan – Nurul Amal

KUALA LUMPUR, 14 Mei – Pemuda dan Puteri parti komponen Kerajaan Perpaduan seharusnya memikul tanggungjawab untuk memberi kefahaman yang sepatutnya kepada anak-anak muda mengenai bagaimana terbentuknya kerajaan hari ini.

Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia, Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi berkata, anak muda di luar sana seharusnya diterapkan mengenai kestabilan politik yang bakal memberi sinar baharu kepada hidup mereka.

“Satu perkara yang kita perlu fahamkan anak muda di luar sana ialah kenapa kita berada di sini.

“Kerajaan ini terbentuk adalah demi kestabilan politik negara dan juga kemakmuran Malaysia. Itu yang mereka perlu faham dan kita kena fahamkan mereka.

“Kita bersama demi kestabilan dan kemakmuran negara,” katanya ketika sesi dialog bertajuk ‘Politik Sebagai Wadah Anak Muda Membina Bersama Negara’ sempena Konvensyen Pemuda Perpaduan yang diadakan pagi tadi di Pusat Dagangan Dunia (WTC), di sini.

Beliau turut menyentuh sedikit sebanyak mengenai ketidaksamaan antara lelaki dan wanita dalam dunia politik yang semakin mencabar dan sukar ini.

“Saya ingin menyentuh sedikit mengenai ‘inequality’ antara lelaki dan wanita. Saya rasa pemuda-pemuda dekat sini daripada parti mana-mana pun … sekiranya wanita itu berkelayakan dan penuh karisma sebagai pemimpin, saya rasa peristiwa merebut seat tidak akan terjadi.

“Meskipun kami ini wanita, perjuangan kami dalam politik ini adalah sangat mencabar dan perlukan banyak pengorbanan. Banyak daripada kami merupakan seorang ibu, isteri dan mempunyai kerjaya. Dalam masa yang sama, kami mempunyai minat yang sama.

“Kami masuk ke dunia politik ini dengan satu matlamat iaitu mewakili wanita-wanita muda di luar sana. Kita tengok kejayaan pemimpin wanita menjadi ahli parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di peringkat negeri. Ini semua memerlukan pengorbanan yang besar untuk kami menggiatkan diri dalam politik,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, Nurul Amal turut berharap agar semua parti politik membuka ruang dan peluang seluas-luasnya kepada wanita untuk bergiat aktif.

“Untuk parti-parti politik setiap negara ini, berilah peluang seluas-luasnya kepada kami sekiranya kami sanggup berkhidmat di dalam parti. Dalam dunia politik ini, saya juga bermula daripada bawah mengenai bagaimana saya belajar untuk buat program, bercakap dan bersabar.

“…dan perkara inilah yang diperlukan untuk empower seorang pemimpin terutamanya wanita. Ini adalah masa depan negara kita, cerminan negara kita.

“Dalam mana-mana parti politik pun kami selalu bercakap mengenai hak 30 peratus wanita, tetapi sampai bila nak memperjuangkan perkara ini? Pemimpin-pemimpin wanita parti mahu hak kami sebagai pemimpin yang sama rata seperti lelaki,” katanya lagi.

Terdahulu, Nurul Amal telah hadir sebagai panel dalam sesi dialog bertajuk ‘Politik Sebagai Wadah Anak Muda Membina Bersama Negara’ sempena Konvensyen Pemuda Perpaduan.

Turut hadir sebagai panel dalam sesi yang sama ialah Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Adam Adli Abdul Halim, Ketua Pemuda PAN, Mohd Hasbi Muda dan Ketua Pemuda PBRS Pusat, Professor Madya Dr Edwin Laimin. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.