Unit Pusat TVET Ditubuh Selaras Pengambilan Pelajar, Sesi Pengajian Seluruh Negara – TPM

KUALA TERENGGANU, 13 Mei – Unit Pusat Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) akan diwujudkan bagi menyelaras pengambilan pelajar serta sesi pengajian di 1,260 institusi TVET di seluruh negara.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata unit itu juga akan bertindak memastikan tidak berlaku persaingan antara institusi TVET yang mendorong berlakunya pertindihan kursus yang ditawarkan.

“Dengan peruntukan besar yang disediakan kerajaan, kita perlu pastikan ada unit yang bertindak menyelaras aspek pengambilan, kursus dan sesi pengajian institusi TVET agar tidak berlaku pertindihan dan persaingan sesama mereka.

“Langkah ini akan memastikan pentadbiran institusi TVET yang lebih efisien selaras peruntukan besar yang disediakan kerajaan bagi program kemahiran itu, yang pastinya mampu meningkatkan lagi nilai kebolehpasaran graduan TVET,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan penandatanganan memorandum perjanjian memperkasa pembangunan TVET di Wilayah Ketengah antara Kolej Ketengah Sdn Bhd dengan Eastern Steel Sdn Bhd dan Seri Pasific Hotel Kuala Lumpur di sini hari ini. – BERNAMA

 

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.