Ahmad Zahid Hadir Santuni Rakyat Di Rumah Terbuka Malaysia Madani Terengganu

KUALA NERUS, 13 Mei – Rumah Terbuka Malaysia Madani peringkat negeri Terengganu yang diadakan pada malam ini ternyata menzahirkan semangat perpaduan kalangan rakyat apabila jelas kehadiran pengunjungnya daripada pelbagai lapisan masyarakat.

Berlangsung di perkarangan dan Dewan Al-Muktafi Billah Shah, UniSZA di sini, majlis dihadiri oleh Presiden UMNO yang juga Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, bersama mengiringi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.


Kehadiran kedua-dua sosok tubuh pemimpin negara itu diraikan dan disambut meriah oleh lebih 10,000 rakyat yang hadir ke majlis tersebut.

Sementara itu, beberapa barisan menteri Kabinet, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Said serta barisan kepimpinan UMNO negeri dan rakan komponen parti Kerajaan Perpaduan turut hadir bagi memeriahkan suasana.

Berdasarkan tinjauan, rakyat negeri itu yang terdiri daripada pelbagai latar belakang kaum dan peringkat umur mula membanjiri lokasi bermula seawal pukul 6 petang bagi bersama meraikan majlis rumah terbuka anjuran Kerajaan Perpaduan itu.


Selain menikmati juadah yang disediakan mengikut tema daerah-daerah yang ada di negeri itu, rakyat yang hadir juga ada mengambil kesempatan untuk beramah mesra, bergambar dan berswafoto dengan kepimpinan kerajaan.

Semalam, majlis yang sama diadakan bagi negeri Kelantan.

Sebelum itu, Majlis Rumah Terbuka Malaysia Madani telah diadakan di Kedah pada 29 April, Pulau Pinang (6 Mei), Negeri Sembilan (7 Mei) manakala esok, 14 Mei bagi peringkat negeri Selangor. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.