UMNO Ke-77: Bersama Hebatkan Parti, Perkukuh Semangat Setia Kawan Demi Perjuangan

KUALA LUMPUR, 12 Mei – Sempena ulang tahun UMNO ke-77, Ketua Pergerakan Puteri UMNO Kedah, Nuraini Yusoff mengajak ahli parti untuk bersama-sama memperkukuh perpaduan dalam kalangan keluarga parti.

Katanya, semangat kesepaduan ini penting bagi memastikan arah tuju yang sebenar dicapai untuk meneruskan perjuangan parti.

“Selamat menyambut ulang tahun UMNO yang ke-77, bersempena dengan ini saya berharap dan hendak mengajak semua ahli UMNO di setiap peringkat sama ada di Pusat, negeri, bahagian, cawangan mahupun di akar umbi untuk memperkukuh semangat setia kawan dan juga memperhebatkan lagi saf kepimpinan yang ada,” katanya kepada UMNO Online.

Beliau yang juga Ketua Pergerakan Puteri UMNO Kulim/Bandar Baharu dalam pada itu turut menyentuh berkenaan persiapan parti menuju Pilihan Raya Negeri (PRN).

Nuraini berkata penting untuk rakyat memahami keperluan memastikan kerajaan negeri yang bakal dibentuk kelak seiring dengan kerajaan di peringkat Pusat bagi memastikan agenda pembangunan dilaksana sebaiknya.

“Kalau di Kedah, dan lima negeri lagi tidak lama lagi kita akan menghadapi PRN kurang 100 hari lagi jadi amat penting untuk kita memperkukuhkan saf kepimpinan.

“Sama-sama kita berusaha dan bekerja kuat untuk merampas kembali kepimpinan negeri dan juga memastikan rakyat di negeri Kedah agar menerima lebih manfaat sekiranya kita boleh #kalihbagisama untuk sama dengan Pusat iaitu Kerajaan Perpaduan,” ujar beliau. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.