UMNO 77 Tahun: Semoga Semangat Parti Dapat Diwarisi, Kekal Selamanya – Megat Zulkarnain

KUALA LUMPUR, 12 Mei – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Selangor, Datuk Megat Zulkarnain Omardin berharap agar semangat perjuangan UMNO dapat diwarisi oleh generasi baharu meskipun usianya telah menjangkau 77 tahun, semalam.

Ujarnya, meskipun sambutan ulang tahun ini dilakukan secara sederhana di Menara Dato’ Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTC), di sini, ianya bukan kayu pengukur kepada semangat ahli-ahlinya yang sentiasa setia kepada perjuangan parti.

“Walaupun diadakan secara sederhana, ianya tidak menjadi kayu pengukur. Bukan bergantung kepada seberapa besar majlis ini diadakan tetapi bagaimana ahli-ahlinya dapat merasai sambutan ini. Tarikh 11 Mei ini adalah tarikh yang cukup keramat.

“Kita mesti ingat tarikh penubuhan UMNO pada 11 Mei 1946 adalah untuk mengangkat martabat agama, bangsa dan tanah air. Waktu itu penubuhan UMNO bukan berkisar soal nak bertanding pilihan raya tetapi lebih kepada bagaimana nak memerdekakan negara ini.

“Itulah semangat kewujudan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (PEKEMBAR) atau dalam bahasa Inggerisnya, UMNO,” katanya kepada UMNO Online.

Menurutnya, bukan mudah untuk sesebuah parti kekal selama 77 tahun dan sudah pasti UMNO mempunyai rahsia kekuatannya tersendiri yang perlu diteruskan.

“Saya fikir pada kali ini semangat ahli-ahli dapat dilihat daripada media sosial masing-masing secara keseluruhannya. Bermula daripada hari Rabu, rata-ratanya sudah mula meraikan hari ulang tahun UMNO yang ke-77 tahun.

“Untuk sesebuah parti bertahan sehingga 77 tahun, ianya bukan sesuatu perkara yang mudah. Banyak parti yang tidak sampai pun ke umur seperti ini dan pastinya ada sesuatu yang menjadi rahsia kekuatan UMNO … dan ini mesti diteruskan,” katanya lagi.

Beliau turut menzahirkan doa agar parti keramat UMNO ini terus kekal dalam meneruskan perjuangannya untuk agama, bangsa dan tanah air.

“Di dalam ucapan Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi semalam pun ada menyebut dalam amanat beliau bahawa dalam tempoh 23 tahun lagi, Insya-Allah UMNO akan berusia 100 tahun. Semangat ini mesti diwarisi dan diteruskan oleh golongan muda supaya ianya tidak luput ditelan zaman.

“Insya-Allah, kita berdoa agar UMNO akan kekal buat selama-lamanya. Saya juga rasa terharu kerana melihat sambutan ulang tahun ini bukan hanya berlangsung di WTC tetapi di seluruh negara secara serentak.

“Ini menunjukkan bahawa betapa meriahnya sambutan ulang tahun UMNO kali ini,” katanya lagi.

Ulang tahun UMNO yang disambut setiap tahun pada 11 Mei merupakan manifestasi ahli dalam menunjukkan semangat perjuangan parti tidak pernah luntur dalam meniti usia emas.

Sambutan ini juga antara lain sebagai platfrom memperkukuh perpaduan dan solidariti dalam kalangan pendukung UMNO. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.