Seru Perpaduan Orang Melayu, Lakar Penyatuan Di Bawah Panji UMNO

KUALA LUMPUR, 12 Mei – Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Kedah menyeru orang Melayu untuk bersama-sama melakarkan penyatuan di bawah satu panji, dengan mendukung UMNO sebagai meraikan sejarah perjuangan membela nasib orang Melayu.

Ketuanya, Mohd Raqib Abu Hassan berkata ini kerana berbekalkan sejarah 9 Mei 2018 suatu detik hitam yang perlu dijadikan pengajaran sebaiknya.

“UMNO akan menyambut hari kelahirannya yang ke-77 pada 11 Mei 2023 ini. Sudah tujuh dekad ataupun lebih 70 tahun UMNO berada di persada politik tanah air. Semenjak merdeka tahun 1957, UMNO menguasai kerajaan Persekutuan sehinggalah UMNO hilang kuasa pada 9 Mei 2018.

“Marilah kita bersama-sama melakarkan sejarah perjuangan dengan bersatunya orang Melayu di bawah satu panji, sebagai pembuktian bahawa kita generasi penerus perjuangan UMNO yang sejati, pantang berundur sebelum berjuang.

“Walau apa pun yang terjadi kita sebagai ahli parti harus menerima dengan hati yang terbuka kerana ini adalah pilihan rakyat dan suara rakyat Malaysia” katanya menerusi satu kenyataan.

Beliau yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Padang Serai turut memaklumkan bahawa ulang tahun UMNO ke-77 ini juga membawa manifestasi tersendiri terutama menjelangnya Pilihan Raya Negeri (PRN).

Jelas beliau, untuk itu fokus dan gerak kerja sebaiknya telah dijalankan bagi memastikan Kedah berjaya ditawan kembali.

“Fokus utama Pemuda UMNO Negeri Kedah pada ketika ini adalah untuk menghadapi PRN di negeri Kedah. Ini menjadi fokus kita yang utama.

“Untuk PRN kali ini, Pemuda dan Puteri UMNO akan bergerak seiringan bagi menarik kembali anak muda untuk bersama Barisan Nasional. Pelbagai program telah kita aturkan untuk menghadapi PRN yang akan tiba tidak lama lagi,” ujar beliau. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.