PRN: Perbincangan Antara Parti Komponen BN Diadakan – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 12 Mei – Perbincangan antara parti komponen Barisan Nasional (BN) iaitu UMNO, MCA dan MIC untuk mendengar pandangan mengenai pembahagian kerusi dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan berlangsung tidak lama lagi dibuat.

Presiden UMNO merangkap Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berpandangan bahawa realiti politik baharu di negara ini memerlukan kebersamaan dan keserasian antara parti Kerajaan Perpaduan dalam menghadapi PRN.

“Hari ini 77 tahun UMNO dan malam ini akan diadakan perbincangan antara parti komponen BN iaitu UMNO, MCA dan MIC bagi mendengar pandangan mengenai kerusi-kerusi yang boleh dipertimbangkan dalam PRN kelak.

“Namun, realiti politik baharu memerlukan kita untuk memperlihatkan kebersamaan 19 parti yang berada dalam Kerajaan Madani ini. Sebahagian besar parti-parti ini berada di Semenanjung maka kebersamaan, kesefahaman dan juga keserasian amat penting.

“Maka kita akan berhimpun pada 14 Mei nanti dan kita akan mendengar pandangan daripada presiden-presiden parti yang bergabung dalam Kerajaan Perpaduan ini. Insya-Allah, kita akan mula bergerak dengan keserasian baharu bagi menghadapi PRN di enam negeri ini,” katanya ketika ditemui sejurus selepas Sambutan Ulang Tahun UMNO ke-77 di Menara Dato’ Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTC), di sini.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid memaklumkan bahawa beliau menyerahkan isu perundingan kerusi kepada Timbalan Presiden UMNO yang juga Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan.

“Dalam isu pembahagian kerusi, saya menyerahkan kebijaksanaan perundingan ini kepada Timbalan Presiden UMNO yang juga Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan untuk menentukannya.

“Sudah tentu kita akan mendengar apa sahaja pandangan mereka (parti-parti gabungan Kerajaan Perpaduan),” katanya lagi.

Dalam pada itu beliau turut memaklumkan bahawa Konvensyen Kerajaan Perpaduan akan diadakan pada 14 Mei ini dan mempertemukan kesemua pemimpin daripada parti-parti membentuk gabungan kerajaan.

“Konvensyen ini akan bermula daripada pagi sebagaimana yang umum ketahui bahawa akan ada pertemuan di kalangan puteri, wanita dan pemuda daripada pelbagai parti.

“Disamping itu, pada tengahari juga kami akan mempertemukan kesemua 148 ahli parlimen yang mendukung Kerajaan Madani bagi bertemu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Tentu ada amanat penting yang akan disampaikan oleh beliau pada ketika itu,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.