Lebih 5,000 Pengunjung Meriahkan Rumah Terbuka Aidilfitri Ketua Penerangan UMNO

PENAWAR, 12 Mei – Lebih 5,000 rakyat daripada pelbagai lapisan membanjiri Dewan Kejora Bandar Penawar bagi menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Ahli Parlimen Pengerang.

Kehadiran orang ramai daripada pelbagai kaum mencerminkan perpaduan masyarakat tanpa mengira latar belakang atau fahaman politik.

Mereka yang membanjiri majlis itu bukan sahaja datang dari daerah Pengerang, tetapi juga luar kawasan yang tiba seawal 8 pagi bagi menunjukkan sokongan padu pada Ahli Parlimen merangkap Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Datuk Seri Azalina Othman Said.

Azalina yang juga Ketua UMNO Bahagian Pengerang berkata sambutan ini adalah amat baik yang menyaksikan masyarakat pelbagai kaum hadir bagi sama-mana meraikan Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri.

“Masyarakat pelbagai kaum hadir pada majlis terbuka Aidilfitri UMNO Pengerang dan tahun ini lebih ramai yang meraikannya berbanding dari tahun-tahun sebelum itu kerana ‘post covid’.

“Tapi semasa saya bukan menjawat menteri pun ramai yang datang beraya dan bukan kerana saya ada jawatan maka ramai masyarakat hadir.

“Masyarakat di daerah Kota Tinggi dan Pengerang ini sememangnya ramai rakyat dari menyokong kerajaan dari Barisan Nasional (BN), Ahli-ahli Parlimen dan juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN),” katanya kepada UMNO Online, di sini, hari ini.

Lebih 50 pelbagai juadah tradisi seperti ketupat, lemang, rendang dan juadah lain termasuk nasi beriani, ayam golek dan kuih tradisional disajikan kepada tetamu yang hadir.

Azalina turut mengambil kesempatan menyantuni dan beramah mesra dengan masyarakat setempat yang menikmati pelbagai juadah disediakan.

Tetamu yang hadir turut dihiburkan dengan persembahan kesenian dan nyanyian daripada artis-artis terkenal tanah air yang dijemput khas. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.