Isu Air Kedah: Sanusi Perlu Beri Penjelasan Terperinci Kepada Rakyat – Shaiful Hazizy

ALOR SETAR, 12 Mei – Ketua Penerangan UMNO Negeri Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin menasihati Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor agar memberi penjelasan secara terperinci kepada rakyat agar mereka sedia maklum dengan status semasa masalah air di negeri itu.

Jelasnya, Menteri Besar Kedah itu perlu mendedahkan pelan jangka masa pendek dan panjang kepada rakyat, bukannya menafikan permasalahan yang dihadapi.

“Pelan jangka masa pendek dan panjang: Kalau ada tolong dedah dan perjelaskan kepada rakyat biar rakyat tahu. Rakyat menderita dan kecewa apabila Menteri Besar menafikan bahawa permasalahan air di negeri Kedah bukanlah bertahap ‘krisis’.

“Jangan jadikan pelan jangka masa pendek dan panjang itu sekadar perhiasan didalam dokumen mesyuarat ataupun nota persembahan,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Shaiful Hazizy turut menzahirkan kemusykilan beliau terhadap penganugerahan projek kepada sebuah syarikat yang mengendalikan tiga projek kritikal dalam satu tempoh masa.

“Penganugerahan projek: Selama ini kita tidak pertikai bab proses tender, cuma kita hairan kenapa sebuah syarikat diberi tanggungjawab untuk menyiapkan tiga projek kritikal dalam satu masa? Atau ada klausa-klausa peraturan kewangan yang membenarkan ianya dilaksanakan?

“Setahu saya Menter Besar sendiri yang mempengerusikan Lembaga Tender Negeri, beliau sepatutnya tahu dan lebih bertanggungjawab, Kita dah tanya lama tapi tak jawab,” katanya lagi.

Ujarnya lagi, sebagai Menteri Besar dan Ketua Eksekutif sesebuah kerajaan sudah semestinya Muhammad Sanusi mempunyai kuasa untuk memberi saranan serta tekanan agar sesebuah projek itu dipercepatkan.

“Proses pelaksanaan projek adalah tanggungjawab pihak tertentu: Sebagai Menteri Besar dan Ketua Eksekutif sesebuah kerajaan beliau boleh beri saranan atau tekanan terhadap mana-mana agensi berkaitan untuk memastikan sesuatu projek itu berada pada tahap terbaik serta mengikut jadual.

“Beliau juga Pengerusi Syarikat Air Darul Aman (SADA) sudah tentunya alasan ‘bukan tugas dan tanggungjawab’ tidak boleh digunakan. Jaminan bahawa kesemua loji akan siap pada tahun 2023 juga bukti bahawa beliau sendiri terlibat didalam sebahagian besar proses pembinaan Loji Rawatan Air (LRA) ini,” katanya lagi.

Menurutnya lagi, Muhammad Sanusi tidak memaklumkan dan memberi penjelasan dengan terperinci kepada rakyat mengenai status projek-projek LRA yang tertangguh.

“Kelewatan projek LRA: Beliau hanya maklum LRA Pelubang yang sedang dalam proses penyiapan mengikut jadual, tetapi sama sekali kekal tidak memberi penjelasan kenapa LRA Bukit Selambau dan Sungai Limau terlewat daripada jadual asal.

“Nasihat saya kepada Menteri Besar, sebagai ketua kepada sebuah kerajaan janganlah kita senang-senang gelarkan mana-mana pihak sebagai ‘bodoh’ ataupun dengan gelaran-gelaran tertentu. Jiwa kena kental, panas ‘tak pa’, tapi jangan koyak,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.