Ahmad Zahid Gesa UMNO Perlis Lupakan Kisah Lalu, Eratkan Permuafakatan

ARAU, 12 Mei – Seluruh kepimpinan UMNO dan Barisan Nasional (BN) Perlis digesa agar melupakan segala perbedaan dan masing-masing mencari titik persamaan dalam usaha memastikan permuafakatan dapat dipereratkan.

Menurut Timbalan Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, jika dilayani perbedaan berkenaan ianya dikhuatiri akan mengulangi sejarah pada Pilihan Raya Umum (PRU) yang lalu.

Justeru beliau mengajak seluruh kepimpinan parti di negeri berkenaan untuk bersatu hati dan jangan terlalu banyak politiking sebaliknya masing-masing memberi tumpuan terhadap kepentingan serta kebajikan rakyat.

“Jangan terlalu banyak politiking… biduk berlalu kiambang bertaut… kalau kita terus melayani perbedaan ini dan tidak mencari titik persamaan, kita menempa kekalahan semula.

“Lupakan sampah masuk ke mata serta peristiwa lampau… apabila tidak ada sampah di dalam mata dan kita buka mata seluas-luasnya untuk perjuangkan kepentingan serta kepentingan rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Aidilfitri UMNO Perlis, di Dewan Sivik Arau, di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi UMNO Perlis, Datuk Rozabil Abdul Rahman; Timbalannya, Datuk Fathul Bari Mat Jahaya serta seluruh kepimpinan UMNO dan BN serta rakan-rakan baharu parti di dalam kerajaan perpaduan.

Ahmad Zahid seterusnya menambah beliau mahu melihat keserasian dan permuafakatan pimpinan pelbagai peringkat termasuklah sayap parti diperkukuh dan bergerak bersama demi kepentingan parti dan rakyat secara umumnya.

“Saya mahu lihat di bawah… kepimpinan ketiga bahagian dan menerusi dukungan sayap serta cawangan kita rapatkan barisan kita.

“Warna perbedaan harus diketepikan sekarang. Yang penting dalam PRU lalu apabila fitnah menggunung… bukan kerana parti lawan kuat tetapi kita lemah dan kelemahan itulah yang harus diperbaiki oleh UMNO negeri.

“Hakikat dan realiti politik hari ini, kita ada tambahan rakan baharu dalam kerajaan perpaduan… dan jalinlah dengan mereka kerjasama… di peringkat pusat dan negeri ini telah kelihatan dan saya harap di peringkat bahagian dan lokaliti kita harap dapat bekerjasama,” tambahnya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.