Ulang Tahun UMNO: Tetapkan Semangat Dan Disiplin Parti Dalam Diri – Norshida

KUALA LUMPUR, 11 Mei – Hari ulang tahun UMNO yang disambut saban tahun pada 11 Mei seharusnya memberi makna mendalam kepada setiap ahli parti.

Ketua Wanita UMNO Segamat, Datuk Norshida Ibrahim berkata semangat juang yang tinggi bukan sahaja perlu disemai malah perlu diiringi disiplin parti yang mendalam.

Tegas beliau tanpa gabungan berkenaan parti semestinya tidak mampu melangkah dengan lebih baik apatah lagi dengan perkembangan semasa khususnya pasca pilihan raya umum yang lalu.

“Bak kata perumpamaan… air kalau mengalir tanpa saluran atau parit, ia akan melimpah dan memusnah. Begitulah semangat… kalau tidak ada disiplin, dan tidak terpimpin, ia akan merosak dan memusnah,” katanya dalam satu kenyataan kepada UMNO Online, di sini hari ini.

Norshida seterusnya berharap perjuangan parti hari ini terus berkembang seiring dengan semangat juang yang ada dalam usaha memastikan UMNO terus menjadi pilihan rakyat khususnya orang Melayu.

Malah bagi Wanita UMNO, beliau penuh yakin akan terus bersemarak dengan segala perancangan dan apa yang utama adalah keyakinan di akar umbi.

“Percayalah… akar umbi memainkan peranan yang amat penting, marilah kita sahut dengan sebaiknya obor perjuangan dengan disiplin yang tinggi kerana tanpa keduanya akan memberi gambaran sebaliknya.

“Semoga Allah terus memberkati perjuangan ini. Semoga Allah menyatukan hati kita semua demi agama, bangsa dan tanah air.” – UMNO Online 

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.