Ulang Tahun UMNO Ke-77: Teruskan Bersatu, Kukuhkan Saf Perjuangan – Sharif Musa

LAHAD DATU, 11 Mei – Ketua UMNO Bahagian Lahad Datu, Sharif Musa Sharif Mabul menyeru seluruh ahli dan kepimpinan parti untuk bersatu serta memperkukuhkan saf perjuangan sempena Ulang Tahun UMNO yang ke-77.

Menerusi hantaran di laman Facebooknya, Sharif Musa turut memohon agar seluruh ahli UMNO mengimbau kembali wadah perjuangan parti yang berjaya membentuk dan menyelamatkan negara daripada komunis.

“Sambutan Ulang Tahun UMNO Ke-77. Ketua UMNO Bahagian Lahad Datu, Sharif Musa Sharif Mabul memohon kepada seluruh ahli UMNO seluruh negara mengimbau kembali wadah perjuangan parti yang menjadi bidan kepada pembentukan Malaysia dan menyelamatkan demokrasi dari rahang kediktatoran komunisme.

“UMNO mempunyai sejarah dan fakta bagi mengingatkan generasi baharu bahawa UMNO telah melancarkan perang terhadap kemiskinan, buta huruf, merencanakan kejuruteraan sosial dan membawa pembangunan kawasan luar bandar,” katanya.

Jelasnya, ini adalah masa untuk mengukuhkan barisan yang ada demi memastikan masa depan bangsa dan negara berada pada tahap baik.

“Sharif Musa berharap mendepani Ulang Tahun UMNO ke-77, ayuh kukuhkan saf perjuangan, satukan hati-hati kita dalam perpaduan, yakinlah bahawa perjuangan kita ialah perjuangan yang benar dan mulia

“Inilah masanya untuk kita mengukuhkan barisan yang ada demi masa depan bangsa dan negara,” katanya lagi.

Menurut Sharif Musa lagi, UMNO mempunyai tugas berat iaitu untuk memastikan semua rakyat Malaysia mendapat peluang yang adil dan saksama terutamanya orang Melayu serta bumiputera.

“Hari ini UMNO mempunyai tugas yang amat berat untuk memastikan bukan sahaja sokongan dan dukungan massa terhadap Masyarakat Madani, tetapi menentukan semua rakyat Malaysia khususnya orang Melayu serta Bumiputra mendapat peluang adil dan saksama daripada usaha menjayakannya,” katanya lagi.

Ulang tahun UMNO yang disambut setiap tahun pada 11 Mei merupakan manifestasi ahli dalam menunjukkan semangat perjuangan parti tidak pernah luntur dalam meniti usia emas.

Sambutan ini juga antara lain sebagai platfrom memperkukuh perpaduan dan solidariti dalam kalangan pendukung UMNO. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.