Ulang Tahun UMNO ke-77: Marilah Bersama Menanam Tekad Untuk Bangkit Kembali – Asyraf Wajdi

KUALA LUMPUR, 11 Mei – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menyeru seluruh ahli menanam tekad untuk terus bangkit semula sempena sambutan ulang tahun UMNO ke-77, hari ini.

Ujarnya, parti keramat Melayu ini sudah melalui pelbagai zaman sejak penubuhannya maka sudah tentu ada perkara yang perlu dimuhasabahkan.

“Bagi pihak keluarga besar UMNO saya ingin mengucapkan selamat ulang tahun ke-77. Parti keramat ini sudah melalui zaman turun, naik, jatuh dan bangun sebagaimana firman Allah dalam surah Ali-Imran ayat 140, ‘kami pergilirkan kepada kamu saat kekalahan, saat kemenangan dikalangan manusia agar menjadi pengajaran’.

“Kita tatkala berada di atas lalu jatuh, sudah tentu ada perkara yang harus dimuhasabahkan. Apabila kita sudah berada di bawah, tidak bermakna kita tidak boleh bangkit kembali,” katanya kepada UMNO Online.

Menurut beliau lagi, UMNO perlu terus bangkit semula mewarnai dunia politik disamping memikul amanah besar iaitu menjaga agama, bangsa dan tanah air tercinta.

“Insya-Allah saya yakin sebagaimana ayat dalam surah yang sama menyebutkan ‘jangan bergundah-gulana, jangan bersedih hati kerana sesungguhnya kalian adalah orang-orang yang akan diberikan kemenangan semula sekiranya kalian benar-benar ingat’.

“Justeru, sebagai warga UMNO marilah kita bersama menanam tekad dan keazaman untuk kita bangkit kembali mewarnai politik negara dengan satu amanah yang besar iaitu untuk terus menjaga agama, bangsa dan tanah air tercinta. Selamat ulang tahun UMNO ke-77,” katanya lagi.

Ulang tahun UMNO yang disambut setiap tahun pada 11 Mei merupakan manifestasi ahli dalam menunjukkan semangat perjuangan parti tidak pernah luntur dalam meniti usia emas.

Sambutan ini juga antara lain sebagai platfrom memperkukuh perpaduan dan solidariti dalam kalangan pendukung UMNO. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.