Semarakkan Kembali Perjuangan UMNO, Terus Relevan Demi Agama, Bangsa, Tanah Air – Jamal
PAPAR, 11 Mei – Ulang tahun penubuhan UMNO ialah pada 11 Mei dan hari ini usianya genap 77 tahun selepas ditubuhkan pada tahun 1946.
Sehubungan itu, Ketua UMNO Bahagian Papar, Datuk Jamal Nerubi mengharapkan agar perjuangan UMNO kembali bersemarak agar zaman kegemilangan parti dapat kembali dirasai yang memberi impak juga pada negara.
Katanya, ketika UMNO bersama Barisan Nasional (BN) menjadi teraju negara, bukan hanya anggota parti yang mendapat kesejahteraan malah rakyat seluruh negara turut merasai kelestarian hasil pembangunan dan kemajuan yang dilaksana.
“Sempena ulang tahun UMNO ke-77 ini, maka marilah kita tekadkan hati untuk bersama-sama kembali memperkukuh UMNO, berusaha sebaik mungkin memastikan perjuangan parti yang berteraskan agama, bangsa dan negara terus relevan dan kekal dari dulu, kini serta selamanya,” katanya.
Dalam hal ini beliau mengajak ahli-ahli UMNO menghayati asas dan tujuan utama penubuhan parti hinggakan kesatuan perpaduan dapat dibentuk.
“Apa-apa yang nak kita lakukan perlulah dilihat daripada asas dan tujuannya sebagaimana penubuhan UMNO yang ditubuhkan demi semangat nasionalisme cintakan tanah air maka kita aspirasikan kembali ia sepanjang masa.
“Walaupun usia UMNO 77 tahun namun parti ini merupakan satu parti politik yang selalu melihat bagaimana untuk memperbaharui dan mengikut zaman dengan para pemimpinnya sentiasa pastikan bahawa UMNO kekal segar dan disokong oleh semua masyarakat di negara ini.
“Kita lihat apa yang telah terbukti hasil pembangunan dan kemajuan yang dibawa UMNO/BN sehinggakan rakyat keseluruhannya mendapat nikmat dalam keadaan negara yang aman dan sentosa, mencapai kemajuan dan mempunyai satu dasar serta dan matlamat sama.”
Jelas beliau, walaupun ada pelbagai usaha pihak tertentu untuk menghapuskan UMNO tetapi ianya tidak berjaya lantaran sokongan yang berakar di umbi.
“UMNO dah melalui pelbagai cabaran dan krisis, kita telah ditekan, diasak, diburukkan macam-macam tetapi alhamdulillah kerana UMNO masih tetap bertahan.
“Saya percaya ketahanan UMNO ini bukan hanya kerana dukungan dari anggota parti tetapi juga kerana UMNO sendiri punya organisasi lebih berstuktur, berperlembagaan dan ada tataetika yang telus.”
Justeru tegasnya lagi, semangat perjuangan UMNO mesti dipertahankan dan bangkit kembali demi masa depan agama, bangsa dan negara. – UMNO Online