Sambutan Ulang Tahun UMNO Ke-77 Lancar, Dirai Sederhana Penuh Kesyukuran
KUALA LUMPUR, 11 Mei – Sambutan Ulang Tahun UMNO ke-77 yang diadakan hari ini di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur berjalan lancar.
Dianjurkan secara sederhana, namun kemeriahannya dirasai apabila seawal jam 6.30 petang lagi para tetamu tiba memenuhi Surau Ar-Rahman, Menara Dato’ Onn.
Sambutan ulang tahun ini dimulakan dengan menunaikan solat Maghrib serta bacaan Yasin dan tahlil di sini yang dipimpin oleh Pengerusi Majlis Hal Ehwal Agama Islam, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.
Amanat daripada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga kemuncak kepada sambutan juga turut sama disiarkan secara langsung di platform Facebook UMNO Online.
Usai amanat tersebut, majlis diteruskan dengan melaksanakan solat Isyak sebelum para tetamu yang hadir diraikan jamuan makan malam bersama kepimpinan tertinggi parti.
Sambutan ini juga diadakan secara serentak melibatkan 12 negeri yang dilaksana secara maya melibatkan bahagian-bahagian di akar umbi bagi meraikan ulang tahun UMNO. – UMNO Online