Perkukuh Perjuangan UMNO, Tanamkan Tekad Terus ‘Bersatu, Bersetia, Berkhidmat’ – Mohd Rafi


LABUAN, 11 Mei – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Mohd Rafi Alli Hassan mengajak ahli-ahli UMNO untuk terus tanamkan tekad ‘Bersatu, Bersetia, Berkhidmat’ dan kembali memperkukuh perjuangan parti.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Labuan berkata demikian sempena ulnag tahun UMNO ke-77 hari ini.

“Alhamdulilllah, hari ini UMNO genap berusia 77 tahun. Tanggal 11 Mei merupakan tarikh keramat tanda lahirnya UMNO sebagai sebuah parti politik.

“Penubuhan yang dibuat atas tekad demi agama, bangsa dan negara. Itulah yang utama dan patut terus disematkan serta dihayati oleh generasi muda,” katanya.

Ujar beliau, UMNO ini ada sejarah yang panjang iaitu kisah perjuangan bangsa menentang penjajah, mempelopori semangat nasionalisme, membentuk ketumbukan dari serata Tanah Melayu, menuntut kedaulatan tanah air dan mahukan Islam ditegakkan.

“Semangat perjuangan UMNO membawa kepada pelbagai peristiwa – merdeka, keluar dari kemiskinan, angkat pendidikan jadi perkara utama dan memodenkan negara.

“Sungguh, perjalanan 77 tahun usia UMNO ini terlalu banyak untuk disuratkan malah kita sebagai pewaris baharu perlulah sedar bahawa UMNO adalah warisan perjuangan yang perlu ditegakkan.

“Atas ulang tahun ke 77 UMNO ini, marilah kita tanamkan tekad untuk terus ‘Bersatu Bersetia Berkhidmat’ kembali perkukuh perjuangan dan kembalikan kesatuan demi agama, bangsa dan negara,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.