Dukung Kerajaan Perpaduan Dengan Lapang Dada Demi Keharmonian Rakyat Dan Negara – Lokman

KUALA LUMPUR, 11 Mei – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Lokman Noor Adam mengajak ahli dalam parti-parti yang mendukung Kerajaan Perpaduan untuk berlapang dada menjaga keharmonian antara satu sama lain.

Katanya ini kerana, kestabilan yang dimiliki kerajaan pada hari ini penting dipelihara demi rakyat dan negara.

“Selama ini kita kutuk PKR, mereka pun kutuk kita… hari ini sudah bersama jadi elaklah bercerita benda yang lepas, ‘move on’ sekarang lupakan apa yang mereka cakap terhadap kita, harap mereka lupakan apa yang pernah kita cakap.

“… yang paling penting dalam memastikan hendak pergi jauh, kena elak daripada keluarkan kenyataan yang boleh mengeruhkan suasana hubungan yang kondusif,” katanya.

Beliau berkata demikian pada temubual ‘Bicara Madani: Mampukah Kerajaan Madani Bertahan?’ yang diadakan di Auditorium Menara Dato Onn, di sini malam tadi.

Jelas Lokman lagi, keharmonian ini juga amat berharga untuk dipelihara terutama dalam mendepani Pilihan Raya Negeri (PRN).

“Kalau kita hendak pastikan kerajaan ini menang besar terutama di enam buah negeri, berhenti daripada mengutuk sesama sendiri,” ujar beliau.

Tambah beliau lagi, meskipun terdapat perbezaan pendirian berkenaan beberapa perkara terutama membabitkan Datuk Seri Najib Tun Razak namun ianya bukan lesen untuk menggeruhkan keadaan.

“Sekiranya bercakap berkenaan perbezaan bertekak sampai mati pun tidak akan ada satu suasana yang kondusif malah mengeruhkan keadaan,” ujar beliau lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.