UMNO Ke-77: Manfaatkan Wadah Perjuangan Parti, Perkasa Orang Melayu – Azhari

KUALA LUMPUR, 10 Mei – Mendepani ulang tahun UMNO ke-77, Ketua Bahagian Shah Alam, Datuk Azhari Shaari berharap wadah perjuangan parti ini dimanfaatkan sebaiknya bagi memperkasa orang Melayu.

Katanya, melalui itu permuafakan dalam kalangan ahli parti perlu diperkukuh bagi memastikan parti ini sentiasa relevan sebagaimana seawal penubuhannya.

“Sempena ulang tahun UMNO ke-77 marilah kita bersama kukuhkan UMNO di semua peringkat, terutama akar umbi.

“Saya juga berharap semoga UMNO akan terus diterima orang Melayu untuk berterusan menjadi wadah perjuangan orang Melayu, menjadi parti yang akan memperjuangkan agama, bangsa dan negara.

“Marilah ahli parti di semua peringkat untuk memperkukuhkan parti setelah kita menerima tamparan yang hebat pada pilihan raya baru-baru ini,” ujar beliau.

Sementara itu, Azhari juga menambah kekuatan baharu parti dalam sambutannya pada tahun ini adalah simbolik kepada pengukuhan parti terutama bagi mendepani Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam buah negeri kelak.

“Kita bangkit dengan nafas dan strategi baharu dengan permuafakatan yang lebih jitu lagi untuk menghadapi cabaran pada masa hadapan terutama sekali pada kita yang akan menghadapi PRN.

“Jadi marilah kita menyatupadukan ahli parti apatah lagi selepas melalui pemilihan parti… ajak semula rakan-rakan yang mungkin sudah jauh, supaya kembali sebagai satu pasukan yang kuat dan segerap untuk menghadapi cabaran mendatang,” ujar beliau. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.