Mendepani PRN… Rakyat Perlu Yakin Pada Kerjasama BN-PH – Jalaluddin

KUALA LUMPUR, 10 Mei – Mendepani Pilihan Raya Negeri (PRN), rakyat Negeri Sembilan perlu melihat bahawa kerjasama antara parti komponen Kerajaan Perpaduan di negeri itu akan memberikan sebuah pengharapan dan sinar baharu kepada mereka.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, meskipun kedudukan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) di negeri tersebut dilihat selamat, ianya bukan sebuah jaminan bahawa kedudukan kedua-dua parti di negeri tersebut akan berjaya dikekalkan.

“Kalau kita lihat di Negeri Sembilan ini, sekarang ini tiada kerusi pembangkang. PH mempunyai 20 kerusi manakala BN ada 16. Apabila kita tengok keadaan ini, dari segi hukum akalnya sememangnya ini adalah sebuah negeri yang selamat.

“Tetapi pada saya, itu bukan satu jaminan untuk kita terus berjaya dan juga mencipta kejayaan dalam PRN akan datang kerana kita perlu lihat soal pemikiran pengundi sekarang ini yang terdiri daripada pelbagai lapisan kaum dan bangsa,” katanya menerusi wawancara di Facebook UMNO Online, semalam.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Jelebu itu berkata, pengundi-pengundi baharu berumur 40 tahun ke bawah perlu diberikan lebih perhatian kerana mereka mewakili peratusan agak besar pada PRN kali ini.

“Apa yang penting ialah dalam soal pengundi baharu kita. Kita akan diwakili oleh pengundi-pengundi baharu berumur sekitar 40 tahun ke bawah yang mewakili peratusan agak besar dalam PRN kali ini.

“Ini harus diberikan perhatian oleh semua jentera kita sama ada daripada BN ataupun PH. Maknanya, kita tidak boleh under estimate kemampuan pihak lawan.

“Hasrat kita ialah supaya Perikatan Nasional (PN) tidak mendapat tempat waima satu kerusi sekali pun dalam PRN ini dan kita juga harus berusaha ke arah untuk meyakinkan rakyat bahawa kerjasama antara BN dan PH bermatlamat bagi memberikan khidmat semaksima mungkin kepada rakyat. Ini harus kita lakukan,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Jalaluddin turut memberikan keyakinan bahawa mesej tersebut akan dapat diterapkan di dalam pemikiran rakyat negeri itu dengan hasil kerjasama jentera BN dan PH menjelang PRN nanti.

“Rakyat harus lihat bahawa kerjasama antara BN dan PH khususnya di Negeri Sembilan akan memberikan satu harapan dan sinar baharu kepada rakyat yang terdiri daripada pelbagai kaum serta bangsa.

“Insya-Allah, saya bersama-sama dengan rakan-rakan pimpinan BN dan PH kita akan pastikan supaya mesej ini dapat kita terapkan pada pemikiran pengundi di negeri ini,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.