Wanita UMNO Terus Tautan Jalinan Kasih Sempena Aidilfitri

KUALA LUMPUR, 9 Mei – Wanita UMNO Malaysia meneruskan tautan jalinan kasih dengan mengunjungi rumah terbuka sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Ketuanya, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad pada Ahad berkesempatan ke Bandar Tun Razak anjuran Ketua Wanita UMNO Bahagian, Zauyah Zainuddin di kediamannya.
“Selepas selesai mesyuarat di Pusat Dagangan Dunia, saya berkesempatan memenuhi undangan ke Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Ketua Wanita UMNO Bahagian Bandar Tun Razak yang juga merupakan Setiausaha Kerja Wanita UMNO Malaysia, Zauyah Zainuddin.

“Sesekali berkumpul seronok juga. Dapat berjumpa dengan rakan-rakan di Bandar Tun Razak seperti Sha, Muni dan Zawal. Penolong Setiausaha Wanita UMNO Malaysia, Datuk Rosni Sohar dan Ketua-ketua Wanita Bahagian di Wilayah Persekutuan pun turut sama ada. Makanan pun sedap-sedap semuanya.

“Terima kasih Zau sekeluarga. Semoga ditambahkan rezeki berlipat ganda,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Menerusi hantaran berbeza, beliau memaklumkan kehadiran ke Majlis Rumah Terbuka Kerajaan Negeri Sembilan dan Malaysia Madani serta Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan.

“Dari Seremban saya ke Kampung Baru untuk menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan anjuran Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani yang juga merupakan Naib Presiden UMNO Malaysia.

“Dengan hampir 25 jenis juadah yang disediakan, majlis dipenuhi dengan lautan tetamu yang datang. Alhamdulillah, Aidilfitri disambut dengan meriah oleh warga kota pelbagai bangsa di sini,” ujar beliau.

Sementara itu, pada semalam Dr Noraini juga berkesempatan hadir memenuhi jemputan daripada Wanita UMNO Bahagian Port Dickson di Restoran Citarasa Kampung, Negeri Sembilan.

“Majlis meriah dengan tema warna ungu. Mujur tudung saya pun seakan-akan warna ungu juga. Turut hadir bersama Ketua Wanita UMNO Negeri Sembilan, Puan Sri Bibi Sharliza Mohd Khalid dan Ketua UMNO Bahagian Port Dickson merangkap Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Malaysia, Datuk Mohd Faizal Ramli,” katanya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.