Pemuda Gabungan Parti Kerajaan Perpaduan Bakal Lancar Geng Perpaduan Ahad Ini

MELAKA, 9 Mei – Satu jentera baharu iaitu Geng Perpaduan yang melibatkan semua sayap pemuda parti gabungan akan dilancarkan sempena Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, Ahad ini.

Ketua Pemuda UMNO Dr Muhamad Akmal Saleh berkata penubuhan Geng Perpaduan itu bagi memperkukuh kerjasama dan mengatur gerak kerja dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri.

“Ini juga sebagai platform baharu buat pemuda dalam parti gabungan Kerajaan Perpaduan yang dianggotai sayap Pemuda Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH), Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Parti Warisan Sabah (WARISAN) dan Parti Ikatan Demokratik (MUDA).

“Geng Perpaduan ini akan diketuai oleh pemimpin muda dan kita percaya pengalaman yang dimiliki semua sayap parti pada pilihan raya mampu menghasilkan kolaborasi terbaik untuk menghadapi PRN dan mampu memberi kekuatan kepada Kerajaan Perpaduan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu, beliau yang juga Exco Luar Bandar Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri menghadiri Majlis Perasmian dan Penyampaian Watikah Lantikan Peserta Kebun Kerang Melaka.

Muhamad Akmal menambah penubuhan jentera itu juga membuktikan kolaborasi parti-parti gabungan dalam Kerajaan Perpaduan, terutama sayap pemuda, berjalan sangat baik ketika ini. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.