Menghampiri Lapan Dekad… UMNO Masih Relevan – Wan Rosdy

KUALA LUMPUR, 9 Mei – Parti keramat UMNO masih lagi relevan meskipun sudah hampir lapan dekad ianya ditubuhkan, kata Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Jelasnya, UMNO akan berusia 77 tahun pada tanggal 11 Mei ini dan tidak dapat dinafikan bahawa banyak jasa parti itu khususnya kepada rakyat dan negara.

“Kita semua tahu bahawa pada 11 Mei nanti umur UMNO akan mencecah 77 tahun, lebih kurang lapan dekad. Kita tidak dapat nafikan bahawa selama 63 tahun daripada tahun 1946 UMNO ditubuhkan, kemudian kali pertama pilihan raya 1955 UMNO telah banyak berjasa dan berbakti kepada orang Melayu khususnya dan bumiputera serta negara.

“Namun begitu kita tidak nafikan bahawa selepas PRU ke-14 kita dapati sokongan rakyat kepada UMNO semakin berkurangan dan kita telah mengalami kekalahan. Mungkin ianya disebabkan UMNO terlalu lama ataupun mempunyai kelemahan-kelemahan tertentu.

“Tetapi yang lebih pentingnya saya dapati walaupun kita menghadapi kemelesetan sokongan daripada orang Melayu dan bumiputera, sehingga hari ini UMNO masih relevan,” katanya semasa sesi wawancara di Facebook UMNO Online, semalam.

Beliau yang juga Menteri Besar Pahang itu turut berpendapat bahawa parti perlu bangkit semula dan mengorak langkah ke hadapan untuk terus kekal relevan.

“Cuma, kita perlu pastikan bahawa prestasi kita selama 63 tahun yang ternyata telah banyak berjasa kepada negara dan terhakis selepas PRU ke-14, kita seharusnya bangkit semula.

“Begitu juga dengan situasi PRU ke-15 baru-baru ini, kita telah kehilangan banyak kerusi dan kita perlu terus mengorak langkah ke hadapan supaya UMNO terus relevan,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, Wan Rosdy menyeru seluruh pemimpin dan ahli parti agar sentiasa bersatu-padu bagi menunjukkan UMNO masih lagi utuh serta sentiasa giat membantu rakyat.

“Kita kena kaji semula apakah yang menyebabkan sokongan rakyat kepada UMNO ini semakin terhakis.

“Untuk tujuan itu, kita harus meningkatkan kesepaduan dan kesepakatan sesama kita supaya dilihat rakyat sebagai sebuah parti yang sentiasa membantu mereka dan juga untuk agama, bangsa serta negara,” katanya lagi.

Ditubuhkan pada 11 Mei 1946, United Malays National Organization atau UMNO menyaksikan kepimpinan pertama oleh Dato’ Onn Jaafar dalam usaha mengukuhkan semangat kebangsaan Melayu dan dikatakan menjadi pencetus kepada perkembangan politik serta ekonomi orang Melayu di Tanah Melayu ketika itu.

UMNO adalah sebuah parti politik yang berjuang mendukung cita-cita agama Islam, kebangsaan Melayu, bumiputera, anak Negeri Sabah dan orang asli serta perpaduan Malaysia demi kemakmuran dan kestabilan Negara. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.