Konvensyen Kerajaan Perpaduan Medan Penyatuan, Bentuk Malaysia Cemerlang – Shamellya

KUALA LUMPUR, 9 Mei – Konvensyen Kerajaan Perpaduan yang akan berlangsung pada 14 Mei ini dilihat mampu untuk menjadi medan penyatuan parti-parti komponen bagi membentuk Malaysia yang cemerlang.

Ketua Penerangan Pergerakan Puteri UMNO Malaysia, Shamellya Norazizi berkata, konvensyen ini mampu untuk menunjukkan solidariti parti-parti komponen dalam sebuah keluarga baharu.

“Dalam konvensyen madani yang akan diadakan nanti sudah pastinya kita mahu bersolidariti bersama parti-parti komponen Kerajaan Perpaduan untuk menunjukkan ini adalah keluarga baharu yang bersama kita dalam #MalaysiaMadani.

“Kita harap rakyat di luar sana menerima baik sambutan ini dan daripada situlah kita nak panjangkan sehingga ke akar umbi. Kalau boleh, biar berkekalan sehingga demi kesejahteraan rakyat,” katanya kepada UMNO Online.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan bahawa beberapa perancangan telah dibuat oleh Pergerakan Puteri UMNO Malaysia bagi menempuh Pilihan Raya Negeri (PRN) yang bakal berlangsung tidak lama lagi.

“Kami telah melakukan beberapa perancangan dan sudah pastinya ia memfokuskan kepada media sosial. Sebelum ini, kita dah ada buat beberapa bengkel dry-run untuk TikTok kerana kita melihatkan platform tersebut merupakan platform utama anak muda.

“Selaku sayap bongsu yang mewakili wanita muda di luar sana, kita nak tackle isu-isu semasa dan dalam masa yang sama kita nak berikan penerangan kepada orang di luar sana tentang apa sebenarnya berlaku sekarang ini.

“Jadi, kebanyakan persiapan yang telah dilakukan lebih memfokuskan kepada media sosial, tidak dilupakan juga kepada ground persiapan PRN,” katanya lagi.

Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan yang bertemakan ‘Madani: Mewajahi Masa Depan Malaysia’ akan diadakan pada 14 Mei 2023 bagi para kepimpinan mengukuhkan tekad dan keazaman serta komited dalam meneruskan agenda yang ingin dilaksanakan.

Ketua Sekretariat Kerajaan Perpaduan, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, konvensyen ini bakal menjadi titik tolak dalam mewujudkan persefahaman antara parti politik dan mempertahankan kestabilan negara. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.