Pemilihan UMNO JB 27 Mei Ini Adalah Pertandingan Bersifat Kekeluargaan – Mohd Hairi

JOHOR BAHRU, 8 Mei – Pemilihan UMNO Bahagian Johor Bahru yang akan berlangsung pada 27 Mei ini di Berjaya Waterfront Hotel, di sini disifatkan sebagai pertandingan kekeluargaan, kata Naib Ketua Pemuda UMNO Mohd Hairi Mad Shah.

Beliau yang akan bertanding dengan bekas Timbalan Ketua Bahagian itu Datuk Yahya Jaafar untuk jawatan Ketua Bahagian turut menjelaskan bahawa dia bersikap profesional dan bersaing secara sihat.

“Saya buka gelanggang ini secara profesional, pertandingan sihat, dan pemilihan ini bukan hendak mencari kesilapan individu tetapi pertandingan ini adalah pertandingan kekeluargaan.

“Selepas ia selesai, saya tetap akan berjumpa dengan lawan saya dan siapa sahaja menang, kita kena bermuafakat semula agar UMNO dipandang tinggi oleh orang luar,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Amanat Bersama Gerakan Koperasi Negeri Johor, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai Pemilihan UMNO Johor Bahru yang ditangguh sejak 18 Mac lepas itu.

Mohd Hairi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia negeri berkata beliau turut yakin Badan Perhubungan UMNO Johor berkredibiliti menyelaraskan pemilihan itu.

Jawatan Ketua Bahagian UMNO Johor Bahru sebelum ini dipegang bekas Ahli Parlimen Johor Bahru Tan Sri Shahrir Samad selama empat dekad.

Pada 18 Mac lepas, proses pemilihan Bahagian UMNO itu ditangguh dan digantung selepas terdapat dakwaan kertas undi melebihi jumlah perwakilan yang hadir. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.