Isu Air: MB Perlu Akui Kelemahan, Mohon Maaf Kepada Rakyat Kedah – Mohd Raqib

KUALA LUMPUR, 8 Mei – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Kedah, Mohd Raqib Abu Hassan menggesa Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor untuk segera menjawab segala kekhilafan berkenaan isu bekalan air bersih di Kedah.

Katanya, Muhammad Sanusi perlu mengakui kelemahan dan memohon maaf kepada seluruh rakyat Kedah yang terjejas akibat kegagalan beliau menangani isu air di negeri ini.

“Beliau pada 27 April lalu yang mengesahkan projek menaik taraf 5 Loji Rawatan Air (LRA) berjalan lancar mengikut jadual yang ditetapkan sebelum ini dan dijangka siap secara berperingkat mulai hujung tahun ini, 2023.

“Difahamkan bahawa hanya sebuah LRA sahaja yang dijangka siap pada hujung tahun 2023. Dua LRA lagi dijangka siap pada pertengahan 2024, manakala dua buah lagi dijangka siap pada pertengahan tahun 2025, termasuk LRA Pelubang yang amat penting bagi penduduk di kawasan utara Kedah.

“Mengejutkan, kenyataan MB Kedah ini amat bertentangan dengan kenyataan awal beliau pada Jun 2020 yang menegaskan semua masalah bekalan air di Kedah akan tamat paling lewat pada tahun 2023, bukan tahun 2025!

“Beliau ketika itu dengan bangga berkata, ‘Kita juga sudah berbincang bersama Kerajaan Persekutuan dan membawa khabar gembira, saya rasa paling lambat tahun 2023 kita akan ada infrastruktur air lebih baik dan dapat selesaikan masalah air yang berlarutan sejak berpuluh tahun lamanya’ yang dipetik dari laporan Berita Harian,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Menurut Mohd Raqib lebih memeritkan, Pengerusi Syarikat Air Darul Aman (SADA) ini hanya mampu menghantar lori tangki air sahaja ke kawasan terjejas sebagai satu-satunya cara mengatasi masalah rakyat Kedah ini secara jangka pendek.

Jelas beliau tindakan ini seolah-olah tiada pelan kontingensi lain yang boleh difikirkan bagi memenuhi keperluan asas hidup rakyat.

Sementara itu, Mohd Raqib malah berkata setelah tiga tahun menghadapi masalah yang sama pada musim perayaan, Muhammad Sanusi sepatutnya tahu bahawa terdapat kepincangan serius dalam pelan jangka pendek tersebut ekoran masih ramai rakyat Kedah yang merungut tidak menerima bekalan air bersih pada Aidilfitri baru-baru ini.

“Difahamkan bahawa antara punca rakyat tidak menerima bekalan air itu adalah disebabkan jadual penghantaran lori tangki air yang tidak strategik, bekalan air yang dihantar tidak mencukupi dan sebilangan pengguna hanya mampu menyediakan tong kecil bagi menyimpan air yang diagihkan.

“Persoalannya, sebagai Menteri Besar Kedah dan Pengerusi SADA yang bijak dan hebat, tidakkah Sanusi dapat memikirkan solusi terbaik untuk mengatasi masalah kecil ini dan hanya mampu menyediakan pelan kontingensi yang lousy?” soal beliau. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.