Kerajaan Perpaduan Laksanakan Agenda Rakyat, Beri Sokongan Kesepaduan Dan Kerjasama Dalam PRN

KUALA LUMPUR, 7 Mei – Majlis Sekretariat Kerajaan Perpaduan yang bermesyuarat malam ini telah bersetuju untuk mengadakan Konvensyen Perpaduan pada 14 Mei ini.

Pengerusi Majlis Pimpinan Kerajaan Perpaduan Malaysia yang juga Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata tujuan utama mengadakan Konvensyen Perpaduan ini adalah untuk terus melaksanakan agenda-agenda rakyat yang lebih berkesan kepada semua kaum dan negeri.

“Tumpuan mengadakan konvensyen ini adalah memanfaatkan semangat perpaduan untuk melaksanakan agenda rakyat, menilai keberkesanan dan meneruskan program yang lebih berkesan dan semangat inklusif bagi semua kaum serta wilayah dengan tunduk kepada prinsip Perlembagaan yang telah disepakati. Program-program Madani dan merakyatkan ekonomi dapat berjalan dengan berkesan.

“Mesej adalah ke seluruh negara dan ini adalah satu percubaan yang unik dalam sejarah dan mengulangi pada zaman kemerdekaan iaitu Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj dan yang kedua oleh Tun Abdul Razak untuk mendapatkan kemuafakatan kaum dan wilayah.” 

Katanya, percubaan kali ini akan berkesan dan berhasil atas kesinambungan, kelangsungan dan paling penting agenda rakyat dapat dilaksanakan dengan cukup berkesan.

“Bagi program Konvensyen Kerajaan Perpaduan ini akan diadakan Konvensyen Wanita dan Pemuda.

“Konvensyen Wanita akan dihadiri oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Konvensyen Pemuda akan dihadiri oleh Datuk Seri Fadillah Yusof, manakala di sebelah petang ketua-ketua parti akan berucap dan diakhiri oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya dalam sidang media di Menara Dato’ Onn, malam ini.

Dalam masa yang sama kata Ahli Parlimen Tambun, Kerajaan Perpaduan telah mempersiapkan Pilihan Raya Negeri (PRN) bagi enam negeri yang melibatkan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH).

“Bagi persiapan PRN dalam enam negeri yang melibatkan BN dan PH dan juga parti-parti yang ada cawangan dan pergerakan di Semenanjung. Pimpinan lain yang tidak bertanding akan terus memberikan sokongan dan menunjukkan kesepaduan dan kerjasama dalam kerajaan Perpaduan.

“Rundingan ini diteruskan dalam masa singkat dan wakil BN dan PH akan memutuskan beberapa perkara seperti pembahagian kerusi, calon dan strategi kempen,” ujarnya lagi. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.