Wan Rakemi Menang Jawatan Ketua UMNO Bahagian Tanah Merah

TANAH MERAH, 6 Mei – Datuk Wan Rakemi Wan Zahari menang jawatan Ketua UMNO Bahagian Tanah Merah dalam pemilihan parti bahagian itu hari ini.

Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Kelantan Datuk Akbar Salim berkata Wan Rakemi mendapat 196 undi untuk mengalahkan dua pencabarnya iaitu Datuk Ir Shaari Hassan dan Ahli Dewan Undangan Negeri Gual Ipoh Mohd Bakri Mustapha yang masing-masing memperoleh 158 undi dan 114 undi.

“Saya bersyukur kerana pemilihan hari ini berjalan lancar, tenang dan jumlah perwakilan yang keluar mengundi sangat membanggakan apabila seramai 474 daripada 515 perwakilan keluar mengundi,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata keputusan itu menyaksikan mandat kepimpinan UMNO Tanah Merah dikembalikan semula kepada bahagian berkenaan selepas ia digantung sejak 16 Jun 2020.

“Selepas ini kita akan fokus untuk membina semula UMNO Bahagian Tanah Merah dan seterusnya bersedia menghadapi Pilihan Raya Negeri Kelantan,” katanya.

Sebelum ini, bahagian itu diketuai oleh Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz, yang juga Ahli Parlimen Tanah Merah.
Bagaimanapun, Ikmal Hisham bertindak keluar parti dan menyertai Bersatu selepas Pilihan Raya Umum ke-14. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.