UMNO Bukan Parti ‘Extreme’ Sentiasa Hormati Agama, Bangsa Dan Tanah Air – Zawawi

KUALA LUMPUR, 5 Mei – Ketua Penerangan UMNO Negeri Kelantan, Datuk Zawawi Othman berpandangan sepanjang beliau menjawat jawatan tersebut merasakan Kerajaan Perpaduan ini cukup berbeza kerana kali pertama UMNO bergandingan bersama-sama dengan Pakatan Harapan (PH).

Menurutnya, kepemimpinan UMNO berpandangan penyertaan parti itu dalam Kerajaan Perpaduan adalah jalan terbaik apabila dititahkan oleh Yang di- Pertuan Agong.

Katanya, UMNO tidak sesekali akan tunduk atau akur pada apa-apa tuntutan yang akan menjejaskan kedudukan Islam, Melayu/bumiputera dan institusi Raja-raja.

“UMNO bukan sebuah parti yang ‘extreme’ dan kita boleh menerima sesiapa saja asalkan mereka menghormati agama, bangsa dan tanah air. Sesiapa yang tidak menghormati ini maka UMNO tidak boleh bersama.

“Kita dapat lihat Dap semasa dengan Pas dan boleh lihat perangai Dap sebenarnya. Perangai, tingkah laku Dap semasa dengan PN dan telatah mereka bersama BN… rakyat boleh menilai.

“Apakah Dap sama macam dahulu? Ini cukup berbeza dan ini adalah kelebihan UMNO dalam mengaplikasi sopan santun, budi bahasa untuk mengurus rakan-rakan dalam kerajaan perpaduan ini,” katanya ketika ditemui UMNO Online, di sini.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Pasir Puteh menjelaskan UMNO pada hari ini memberi komitmen yang tinggi kepada Kerajaan Perpaduan dan bukan hanya kerana parti itu sendiri tetapi kerana rakyat.

“Kehidupan masyarakat sekarang ini sudah lama tidak stabil apabila politik tidak stabil maka ekonomi pun ikut sama. Rakyat di dalam negara terumbang-ambing, akhir sekali yang rugi adalah rakyat.

“Cukup-cukuplah apabila perkataan yang dikatakan oleh pemimpin PN bahawa ingin menukar kerajaan dan maka apabila diluangkan negara luar tidak percaya pada kekukuhan politik dalam negara dan yang rugi adalah negara dan rakyat,” katanya lagi.

Seterusnya kata Zawawi lagi, dulu UMNO tidak tebuk atap, yang tebuk atap adalah PPBM, Tan Sri Muhyiddin yang hendak jadi Perdana Menteri bukannya UMNO.

“Mana-mana ahli-ahli politik yang ingin mengubah lanskap politik sekali lagi adalah tidak perlu, biarlah kekal apa yang ada sekarang ini adalah untuk rakyat.

“Fikir kepada rakyat… cukup-cukuplah dan hentikan sandiwara ini demi kerana rakyat dan rakyat juga memerlukan UMNO untuk bangkit semula,” ujarnya. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.