Kerajaan Perpaduan: Raikan Perbezaan, Kongsikan Nilai Kepimpinan Perjuangan – Mohammad Sollehin
KUALA LUMPUR, 4 Mei – Meskipun berbeza ideologi, para pimpinan pemuda dalam Kerajaan Perpaduan masih mampu untuk duduk semeja dan berkongsi nilai yang sama iaitu kepimpinan serta perjuangan, kata Ketua Penerangan Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Mohammad Sollehin Mohamad Tajie.
Jelasnya, Program Makan Malam Jalinan Mesra Pemuda Perpaduan yang diadakan pada Selasa lalu merupakan sebuah program baik untuk merapatkan jurang antara pimpinan pemuda parti-parti Kerajaan Perpaduan.
“Alhamdulilah, bagi saya ini adalah program yang baik. Sudah tentu ianya satu perkara sangat luar biasa sebab kita pernah berperang dalam siri-siri pilihan raya sebelum ini dan akhirnya bertemu atas dasar Kerajaan Perpaduan.
“… dan semangat ini turut ditonjolkan oleh sayap-sayap kepimpinan pemuda dalam kerajaan ini. Kita duduk sama-sama meraikan Aidilfitri, berbincang, menyatakan dan berkongsi pendapat, idea serta ideologi masing-masing,” katanya kepada UMNO Online.
Menurut Mohammad Sollehin, perbezaan yang ada dapat diuruskan dengan baik dan ianya menjadi sebuah perlambangan kepada Kerajaan Perpaduan untuk menepis tanggapan negatif.
“Memang ada perbezaan masing-masing. Kita juga telah mendengar ucapan daripada pimpinan pemuda lain yang menyatakan bahawa dahulu kita mempunyai perbezaan amat besar.
“Tetapi, kita dapat mengurus perbezaan itu dengan baik. Kita dapat duduk semeja dan berbincang. Insya-Allah ia menjadi satu perlambangan kepada Kerajaan Perpaduan ini dan mengenepikan semua pandangan buruk serta tanggapan negatif.
“Walaupun berbeza ideologinya, kita mampu duduk bersama sebab kita berkongsi nilai yang sama iaitu nilai kepimpinan dan perjuangan. Bagi saya itu yang menyatukan kita dalam semua parti yang berbeza,” katanya lagi.
Majlis Jalinan Mesra Pemuda Perpaduan yang diadakan semalam merupakan medium terbaik bagi mengeratkan hubungan pemuda rentas parti untuk bekerjasama secara lebih dekat terutamanya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.
Rata-rata anak muda yang hadir pada majlis ini membawa azam dan tekad untuk menjalin hubungan baik sesama parti komponen Kerajaan Perpaduan bagi mengukuhkan lagi situasi politik negara. – UMNO Online