Ahmad Zahid Mohon Peruntukan Khas Selesai Masalah Bekalan Air Sabah

KOTA KINABALU, 4 Mei – Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi akan memohon peruntukan khas untuk menyelesaikan isu bekalan air yang sudah berlarutan sejak sekian lama di Sabah.

Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah itu berkata peruntukan khas itu sangat diperlukan untuk memastikan semua rakyat yang tinggal di Sabah khususnya di kawasan luar bandar negeri itu mendapat bekalan air yang bersih.

“Saya tahu bekalan air di Sabah sangat mengecewakan, banyak rungutan yang kita dengar khususnya ketika musim perayaan ini. Orang mahu beraya pun susah kerana tiada air,” katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Badan Perhubungan UMNO Sabah di sini hari ini.

Beliau berkata selain bekalan air, banyak lagi masalah lain yang perlu diberi perhatian di Sabah termasuk jalan raya dan elektrik, justeru beliau juga akan memohon untuk menambah peruntukan khususnya untuk Sabah melalui Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).

Ahmad Zahid berkata kerajaan Persekutuan juga telah memperuntukkan sebanyak RM600 juta untuk menyelesaikan isu infrastruktur di Sabah termasuk projek Bekalan Air Luar Bandar (BALB), Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB) dan baik pulih rumah daif.

“Saya harap peruntukan ini dapat menyelesaikan masalah yang dihadapi rakyat khususnya masalah air, jalan raya dan elektrik, oleh itu untuk memastikan semuanya berjalan lancar, kestabilan politik perlu dijaga,” katanya.

Di PAPAR, Ahmad Zahid dalam sidang media selepas menghadiri majlis ramah mesra MRSM Kota Kinabalu di sini yang kini dikenali MRSM Tan Sri Musa Aman, berkata beliau akan memantau penyaluran peruntukan RM600 juta itu bagi memastikan ia dapat memberi kesan kepada negeri ini.

“Saya juga akan memantau kawasan yang daif terutama tiga daerah termiskin di Sabah akan saya beri keutamaan setelah saya adakan perbincangan dengan Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) untuk memberikan tumpuan dan perhatian terhadap daerah ini,” katanya.

Beliau berkata Anwar dan kerajaan Persekutuan mempunyai matlamat untuk memastikan kemiskinan sifar di negara dapat dicapai pada tahun ini, justeru daerah miskin di Sabah itu harus dinaik taraf dengan pelbagai projek pembangunan dan pembangunan sosioekonomi rakyat.

“Pembangunan dari segi industri dengan kerjasama MITI (Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri), keusahawanan kerjasama dengan KUSKOP (Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi) juga beberapa kerjasama lain termasuk dengan Kementerian Kerja Raya untuk baiki jalan,” katanya.

Tiga daerah termiskin di Sabah itu ialah Pitas, Kota Marudu dan Tongod. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.