UMNO Mesti Bekerja Sebagai Satu Pasukan Untuk Bangkit Kembali – Wan Rosdy

KUALA LIPIS, 2 Mei – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menegaskan bahawa anggota parti mesti bekerja dalam satu pasukan untuk pastikan UMNO bangkit kembali.

Beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Pahang memaklumkan bahawa masalah dalaman parti tidak perlu ada sebaliknya fokus untuk terus bangkit.

“Kita ucapkan tahniah kepada Presiden kerana banyak melakukan perubahan pada UMNO baru-baru ini. Kita tak mahu lagi ada masalah dalaman dan kita wajib bekerja sebagai satu pasukan kalau kita ingin bangkit kembali,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Besar Pahang berkata demikian dalam ucapan semasa Majlis Sambutan Aidilfitri peringkat Negeri Pahang, di sini, semalam.

Jelas Wan Rosdy, UMNO Pahang akan berusaha sedaya upaya untuk mengangkat parti pada kedudukan yang selayaknya.

“Saya akan cuba sedaya upaya saya untuk melaksanakan tugas selepas saya dilantik sebagai Pengerusi Majlis Pengkaderan dan Latihan UMNO. Kita akan buat sebaik mungkin, insya-Allah.

“Acara pertama yang akan kita buat adalah mengadakan ‘brainstorming’ untuk enam negeri yang akan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) dalam masa terdekat ini.”

Beliau juga melahirkan keyakinan bahawa UMNO akan kembali cemerlang berdasarkan sokongan dari semua anggota parti.

“Walau ada banyak cabaran sekalipun, saya yakin UMNO Pahang tidak akan mengalah. Saya yakin UMNO Pahang akan terus cemerlang dan semua akan terus memberi sokongan.

“Sama-samalah kita berdoa agar Allah SWT akan melindungi kita dan mengangkat parti kita demi agama, bangsa dan negara,” katanya lagi.

Majlis Sambutan Aidilfitri Peringkat Negeri Pahang turut dihadiri oleh Presiden UMNO merangkap Timbalan Perdana Menteri (TPM), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta kepimpinan parti pelbagai peringkat.

Wan Rosdy turut mengiringi Ahmad Zahid menyantuni orang ramai dan beramah mesra dengan anak-anak tempatan yang membanjiri kawasan terbabit. Dilaporkan lebih 10,000 orang hadir dalam acara tersebut. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.