Peruntukan Sekolah Persendirian: Ini Bukan Soal Politik – Dr Akmal

KUALA LUMPUR, 2 Mei – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Dr Muhamad Akmal Saleh beranggapan bahawa isu pembahagian peruntukan pendidikan kepada Sekolah Menengah Persendirian Cina (SPMC) dan institusi pendidikan agama bukanlah soal politik bahkan ianya hak rakyat.

Menerusi hantaran di laman Facebooknya, beliau menegaskan bahawa Pergerakan Pemuda UMNO tetap akan membawa isu ini tidak mengira siapa yang memegang tampuk kepimpinan negara.

“Ini bukan soal politik, ini soal hak bagi setiap institusi pendidikan. Siapa pun yang jadi kerajaan, kami tetap akan bawa isu ini kerana ianya adalah hak setiap rakyat di negara ini.

“Kalau yuran dikumpul sahaja boleh sehingga RM360 juta berbanding sekolah institusi agama yang nak kumpul RM100,000 pun susah kerana mereka bukan dari golongan T20.

“…maka apa relevan SPMC ini mendapat peruntukan secara purata melebihi dari institusi agama?” soalnya.

Ujarnya lagi, Pergerakan Pemuda UMNO tidak pernah gentar dengan perjuangan yang dibawa meskipun Dong Zong mahu meminta kerajaan mengambil tindakan atas kenyataan mereka sebelum ini.

“Dong Zong nak minta kerajaan ambil tindakan terhadap Pemuda UMNO atas sebab kami suarakan isu ini? Bring it on,” katanya.

Minggu lalu media melaporkan bahawa Pergerakan Pemuda UMNO menggesa kerajaan agar menyemak kadar peruntukan purata SPMC dan Sekolah Agama (SA) agar dapat diseragamkan.

Kata Dr Akmal, agihan peruntukan bagi kedua-dua jenis sekolah ini membangkitkan persoalan dari segi purata jumlah peruntukan yang diberikan. – UMNO Online


Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di linktr.ee/umno #UMNOBangkit