Pengangkutan Awam Yang Efisien, Kurangkan Kesesakan Trafik

PUTRAJAYA, 2 Mei – Perkhidmatan pengangkutan awam mesti digunakan dengan efisien sebagai usaha mengurangkan kesesakan trafik di pusat bandar, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata ini termasuk cadangan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk menambah jumlah laluan khas bagi perkhidmatan bas serta peluasan kaedah laluan kontra di kawasan terlibat terutamanya di sekitar Lembah Klang.

“Ertinya perbanyakkan promosi penggunaan pengangkutan awam yang akan mengurangkan kos atau berkos rendah dan destinasi laluan yang lebih banyak.

“Begitu juga dari segi laluan khusus untuk bas yang akan diperbanyakkan,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Kesesakan Jalan Raya (JKMKJR) Bilangan 1/2023.

Turut hadir Menteri Pengangkutan Anthony Loke yang mempengerusikan jawatankuasa teknikal di bawah JKMKJR tersebut.

Ahmad Zahid berkata Kementerian Pengangkutan telah mengambil pendekatan dan strategi bersifat ‘quick win’ terhadap penyelesaian masalah kesesakan lalu lintas terutamanya di ibu negara tanpa sebarang peruntukkan tambahan daripada kerajaan.

Antara pendekatan tersebut adalah menambah baik dan memperluaskan penyediaan bas henti-henti, menambah baik akses kemudahan pejalan kaki ke stesen bas atau tren selain pengurusan trafik yang memberi keutamaan kepada pengangkutan awam, katanya.

Fokus juga diberikan terhadap pembangunan sistem maklumat dan pengurusan jadual berintegrasi tunggal di Lembah Kelang, menambah baik tempat menunggu bas yang selesa dan selamat dengan sistem maklumat bas, menambah pengangkutan awam alternatif seperti On-demand Services, e-hailing, dan pengintegrasian mod pengangkutan awam bus atau tren, katanya. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.