Makan Malam Jalinan Mesra Perpaduan: Langkah Pertama Erat Silaturahim Antara Rakan Parti

SHAH ALAM, 2 Mei – Program Makan Malam Jalinan Mesra Pemuda Perpaduan sempena sambutan hari raya Aidilfitri merupakan langkah pertama bagi mengeratkan silaturahim golongan muda parti dalam Kerajaan Perpaduan.

Bertempat di The Saujana Hotel Kuala Lumpur, di sini majlis ini dihadiri oleh 100 orang tetamu yang terdiri daripada sayap-sayap pemuda dari semua parti komponen.

Selaku salah sebuah parti yang melibatkan diri dalam penubuhan kerajaan pasca Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15, beberapa orang wakil daripada Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO/Barisan Nasional (BN) tidak ketinggalan untuk menyertai majlis ini.

Kehadiran Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Dr Muhamad Akmal Saleh disambut dengan girang gembira oleh para pemuda dari parti komponen Kerajaan Perpaduan dan turut hadir Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Mohd Hairi Mad Shah serta Ketua Penerangan Pergerakan Pemuda UMNO, Mohammad Sollehin Mohamad Tajie.

Manakala para pimpinan sayap Pergerakan Puteri UMNO yang menghadirkan diri ialah Setiausaha Puteri UMNO Malaysia, Puteri Farhana Megat Ahmad Shahrani, Bendahari Puteri UMNO Malaysia, Hanis Hazwani binti Hazmin, Ketua Penerangan Puteri UMNO Malaysia, Shamellya Norazizi dan Exco Puteri UMNO Malaysia, Reena Awliyatul Imani.

Majlis Jalinan Mesra Pemuda Perpaduan ini adalah medium terbaik bagi mengeratkan hubungan pemuda rentas parti yang akan bekerjasama secara lebih dekat terutamanya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.

Rata-rata anak muda yang hadir pada majlis ini membawa azam dan tekad untuk menjalin hubungan baik sesama parti komponen Kerajaan Perpaduan bagi mengukuhkan lagi situasi politik negara. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.