Majlis Peguam Negara Patut Fokus Kepada Peranan Asas… Bukan Bermain Politik – Mohd Puad

KUALA LUMPUR, 2 Mei – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi berpendapat bahawa Majlis Peguam Negara (Bar Council) sepatutnya lebih memberi fokus kepada peranan asas dan tidak berada dalam gelanggang politik.

Menerusi hantaran di laman Facebooknya, Mohd Puad memaklumkan bahawa Majlis Peguam Negara akan mengadakan Mesyuarat Agung Luar biasa (EGM) pada 10 Mei ini bagi membahas usul ‘serangan bertalu-talu’ terhadap badan kehakiman.

“Majlis Peguam akan mengadakan Mesyuarat Agung Luar biasa (EGM) 10 Mei akan datang. Ia akan membahas usul mengutuk ‘serangan bertalu-talu’ terhadap badan kehakiman.

“Bar Council mempertahankan Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd Nazlan, membidas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana menyiasat Nazlan dan mengecam Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman kerana mengesahkan hasil siasatan SPRM,” katanya.

Menurut beliau, itu bukan perkara yang aneh kerana sememangnya badan tersebut kuat bermain politik, berat sebelah dan amat selektif.

“Tidak ada yang pelik dengan tindakan Bar Council itu. Badan itu kuat main politik, berat sebelah dan amat selektif siapa yang mereka mahu pertahankan.

“Bar Council tidak lagi fokus kepada peranan fundamental mereka yang sepatutnya mengawal profesionalisme kepeguaman. Tetapi lebih banyak berada di gelanggang dan bermain politik.

“Lebih baik daftar Bar Council sebagai badan politik. Badan profesional seperti Persatuan Perubatan Malaysia dan Persatuan Arkitek Malaysia tidak pun berperangai macam Bar Council,” katanya lagi.

Ujar beliau lagi, Majlis Peguam Negara sepatutnya membahaskan perkara yang sepatutnya daripada terus melakukan pendirian yang berat sebelah.

“Bar Council patut bahas dan buat pendirian terhadap dapatan SPRM bahawa Nazlan melanggar tataetika Hakim. Itu baru betul. Buatlah pendirian yang bermaruah.

“Kenapa marah Peguam Negara kerana tidak mempertahankan Hakim Nazlan? Kenapa tutup mata sebelah dalam kes bekas Gabenor Bank Negara, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz?

“Kenapa tidak bahas memoir bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas yang mendakwa ada campur tangan dalam pelantikan hakim-hakim? Kuat politik Bar Council,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.