Isham Ingatkan Noh Omar, Banyak Jasa UMNO Kepada Beliau

KUALA LUMPUR, 2 Mei – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Isham Jalil mengingatkan bekas Ahli Parlimen Tanjung Karang, Tan Sri Noh Omar bahawa parti keramat ini banyak berjasa kepada beliau sebelum ini.

Menerusi hantaran di laman Facebooknya Isham berkata, kenyataan Noh Omar mengenai UMNO ditunjangi ‘kaki bodek’ itu ibarat ‘kacang lupakan kulit’ kerana UMNO yang mengangkat beliau menjadi wakil rakyat sehingga menteri.

“Semalam Noh Omar kata orang UMNO kaki bodek. Setahu saya yang kaki bodek adalah Noh Omar.

“Dulu seingat saya semasa dia (Noh Omar) ingin jadi menteri, dia bodek Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan sampai saya pun dia (Noh Omar) bodek, masa itu saya bekerja di Pejabat Perdana Menteri,” katanya.

Menurut Isham, hanya disebabkan Noh Omar ingin bertanding pada Pilihan Raya Negeri akan datang, beliau sanggup mengutuk dan mencaci parti yang pernah mengangkat beliau sebelum ini.

“Dulu UMNO yang angkat dia (Noh Omar) sebagai wakil rakyat sehingga jadi menteri. Kini, hanya beberapa bulan selepas dia minta dipecat dari UMNO, dia sudah mula kutuk dan caci UMNO umpama ‘kacang lupakan kulit’.

“Hanya kerana dia ingin bertanding pilihan raya lawan UMNO. Saya ingin ingatkan Tan Sri Noh Omar, UMNO banyak berjasa kepada kamu, jangan lupa itu,” katanya lagi.

Pada Selasa media melaporkan bahawa bekas Ahli Parlimen Tanjung Karang, Tan Sri Noh Omar mendakwa UMNO kini hanya ditunjangi oleh kaki bodek dalam parti.

Noh turut mengesahkan yang dia akan bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) atas tiket Perikatan Nasional (PN).

Pada 28 Januari lalu, UMNO telah menggantung keahlian Noh Omar dalam  atas 16 pertuduhan dihadapinya kerana mensabotaj parti pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.