KKDW Sasar 400 Anak Orang Asli Ke Universiti

KUALA LIPIS, 1 Mei – Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) menyasarkan sekurang-kurangnya 400 anak Orang Asli akan melanjutkan pengajian di universiti awam atau institusi pengajian tinggi swasta tahun ini.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga merupakan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata ia merupakan sasaran terbaharu, selepas sasaran 300 anak Orang Asli ke menara gading yang ditetapkan sebelum ini berjaya dicapai.

Katanya beliau yakin jumlah itu boleh dicapai berdasarkan potensi besar anak-anak Orang Asli serta pelaksanaan pelbagai program pembangunan kerajaan.

Selain itu Ahmad Zahid berkata pihaknya turut bercadang memberi sagu hati RM1,000 menerusi Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) kepada setiap pelajar yang berjaya menjejakkan kaki ke menara gading.

“Saya melihat potensi besar dalam kalangan Orang Asli, kita jangan meremehkan keberadaan mereka dalam masyarakat kita di Malaysia,” katanya semasa berucap di Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Badan Perhubungan UMNO Pahang di Laman Sejahtera Sungai Koyan di sini hari ini.

Majlis dihadiri Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail yang juga Naib Presiden UMNO dan kepimpinan UMNO peringkat nasional serta negeri, selain dimeriahkan dengan kehadiran lebih 10,000 tetamu dari pelbagai lapisan masyarakat.

Selain aspek pendidikan, Ahmad Zahid juga memberi jaminan bahawa kerajaan akan terus menambah baik kemudahan infrastruktur di perkampungan Orang Asli termasuk kemudahan air dan elektrik serta perumahan menerusi peruntukan JAKOA dan KKDW.

Beliau yang juga Presiden UMNO turut memberi jaminan akan menjaga kebajikan seluruh masyarakat di desa.

“Mudah-mudahan dengan peruntukan RM11.08 bilion kepada KKDW, ia akan digunakan sebaiknya untuk membantu memajukan masyarakat desa,” katanya.

Dalam kunjungan ke Pahang hari ini, Ahmad Zahid turut melawat Pusat Tenun Pahang Diraja di Pos Betau di sini yang mempunyai empat penenun daripada beliawanis Orang Asli di situ yang menerima latihan di Institut Kemahiran Tenun Pahang Diraja Tengku Ampuan Besar Meriam di Pekan.

Selain itu, beliau juga melawat bangunan Transit Pesakit Orang Asli di pos sama yang diwujudkan bagi menempatkan pesakit dan ahli keluarga Orang Asli dengan bantuan kebajikan disediakan JAKOA manakala rawatan kesihatan dikendalikan Klinik Kesihatan Betau. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.