Ribuan Hadir Rumah Terbuka Aidilfitri Presiden UMNO

PUTRAJAYA, 30 April – Rumah terbuka merupakan satu pendekatan paling baik bagi menunjukkan sikap muafakat antara kaum yang ada dalam masyarakat Malaysia.

Menerusi majlis seperti ini perpaduan kaum dapat diperkukuhkan melalui budaya kunjung mengunjung dan hormat menghormati antara satu sama lain selain keterbukaan dan keakraban UMNO bersama masyarakat.

Rumah terbuka Presiden UMNO merangkap Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan isteri, Datin Seri Hamidah Khamis di Sri Satria, Putrajaya dalam meraikan sambutan hari raya ini.

Berdasarkan tinjauan UMNO Online, masyarakat pelbagai kaum terdiri daripada Melayu, Cina, India dan lain-lain mula menghadiri rumah terbuka berkenaan pada pukul 8 malam bagi menikmati pelbagai juadah yang disediakan di khemah tetamu selain untuk beramah mesra dengan kepimpinan tertinggi UMNO.

Orang ramai turut tidak melepaskan peluang untuk bersalaman dengan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan keluarga.

Majlis tersebut turut dimeriahkan dengan kehadiran Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan, Naib Presiden UMNO Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Turut hadir Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, Ketua Wanita UMNO Malaysia, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad serta kepimpinan ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO yang turut hadir bagi memeriahkan suasana ini.

Setakat jam 9 malam dianggarkan lebih 20,000 ahli parti dan rakyat pelbagai peringkat hadir memeriahkan majlis rumah terbuka Aidilfitri Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Dalam majlis itu juga, beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk turut menyampaikan sumbangan duit raya kepada semua kanak-kanak yang hadir.

Majlis turut diserikan lagi dengan persembahan lagu raya oleh artis yang dijemput khas ke majlis tersebut.

Ahmad Zahid turut sama memberikan duit raya seramai 100 anak yatim dan pelajar tahfiz masing-masing dari Persatuan Kebajikan Baitul Ulfah, Persatuan anak yatim daerah Gombak dan Puchong serta Pusat Tahfiz Seri Kembangan. – UMNO Online


Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit