Pemuda UMNO Gesa Kerajaan Semak Kadar Peruntukan Purata Sekolah Menengah Persendirian

KUALA LUMPUR, 29 April – Pergerakan Pemuda UMNO menggesa kerajaan agar menyemak kadar peruntukan purata Sekolah Menengah Persendirian Cina (SPMC) dan Sekolah Agama (SA) agar dapat diseragamkan.

Ketuanya, Dr Akmal Saleh berkata, agihan peruntukan bagi kedua-dua jenis sekolah ini membangkitkan persoalan dari segi purata jumlah peruntukan yang diberikan.

“Baru-baru ini umum mengetahui bahawa sebanyak RM 15.7 juta telah diluluskan oleh Perdana Menteri bagi SMPC dan dalam masa yang sama sebanyak RM 150 juta diperuntukkan kepada sekolah tahfiz dan institusi pondok.

“Jika dilihat secara terperinci, agihan peruntukan ini membangkitkan persoalan dari segi purata jumlah peruntukan yang diberikan.

“Sebagai contoh RM 150 juta diperuntukkan bagi 1,276 buah sekolah (Institusi Sekolah Agama Berdaftar) yang membawa maksud setiap satu sekolah hanya mendapat RM 117.5 ribu berbanding RM 15.7 juta bagi 63 buah SMPC, satu sekolah mendapat RM 250 ribu,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau itu turut mempersoalkan kriteria kepada penentuan jumlah peruntukan tersebut.

“Selain itu, kedudukan Institusi SA dan SMPC adalah tidak sama di sisi perlembagaan dan peruntukan pendidikan agama diberikan menerusi JAKIM bukannya Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). Ia menunjukkan punca kuasa kewujudan institusi tersebut di bawah peruntukan perlembagaan.

“Maka apakah kriteria penentuan jumlah peruntukan kepada institusi pendidikan agama dan sekolah menengah persendirian cina? Berdasarkan kriteria apakah jumlahnya ditentukan?

“Jika penentuan peruntukan oleh kerajaan adalah mengikut purata bilangan sekolah, Pemuda UMNO Malaysia menggesa agar kerajaan menyemak semula kadar peruntukan purata SMPC untuk diseragamkan dengan peruntukan kepada institusi pendidikan agama dan bakinya perlu diberikan kepada sekolah menengah aliran kebangsaan yang secara jelas untuk semua kaum dan berpaksikan silibus kebangsaan,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau turut mencadangkan agar mana-mana institusi yang tidak dapat beroperasi kerana kekurangan dana diserap ke dalam sekolah aliran kebangsaan.

“Jika alasan peruntukan diberikan kepada SMPC atas faktor kekurangan dana, maka kami mencadangkan agar mana-mana SMPC yang tidak mampu untuk menjalankan operasi ini diserapkan di dalam sekolah aliran kebangsaan.

“Saya percaya lebih banyak sekolah aliran kebangsaan yang daif dan lebih memerlukan bantuan dana dari sekolah persendirian cina yang kita semua sedia maklum dibiayai secara persendirian oleh pihak swasta tanpa memerlukan dokongan kerajaan. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.