Raikan Aidilfitri Tanda Kesyukuran, Semoga Limpahan Rahmat Memayungi Semua

KUALA LUMPUR, 27 April – Kehadiran bulan Syawal menandakan berakhirnya bulan Ramadan yang penuh rahmat dan keberkatan.

Ianya juga tanda kemenangan buat umat Islam dalam melaksanakan ibadah puasa dan mengharungi segala ujian dan cabaran dalam melaksanakan perintah Allah SWT.

Bendahari Pergerakan Pemuda UMNO Mohd Naim Kurniawan Moktar merakamkan ucapan Selamat Hari Raya kepada seluruh rakyat Malaysia seandainya ada tersalah kata dan perbuatan.

“Saya ingin mengucapkan selamat menyambut Hari Raya Aidilfitri kepada seluruh rakan-rakan seperjuangan di seluruh Malaysia, dulu kini dan selamanya. Jika ada tersalah bahasa, terlanjur kata, terlajak perbuatan daripada saya dan dengan rendah diri ingin menyusun 10 jari mohon seribu kemaafan kepada semuanya.

“Raikan hari raya yang cukup mulia ini bersama keluarga, rakan-rakan dan sanak saudara yang tercinta. Selamat Hari Raya Aidilfitri, maaf zahir dan batin,” katanya kepada UMNO Online, di sini.

Bagi Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Shahrul Nasrun Kamaruddin mengharapkan seluruh umat Islam mendapat segala limpahan yang penuh rahmat pada Aidilfitri ini.

“Selaku Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia mendoakan semoga limpahan rahmat dan keberkatan memayungi kita semua. Kepada muslimin dan muslimat selamat Hari Raya Aidil Fitri, maaf zahir dan batin kepada semua umat Islam dan ahli UMNO.

“Saya dan keluarga menyusun 10 jari memohon ampun dan maaf seandainya ada tersalah kata dan terkasar bahasa, sesungguhnya yang baik itu datangnya dari Allah dan yang kurang baik itu hadir di atas kesilapan saya. Insya Allah akan berjumpa lagi,” jelasnya.

Pengumuman rasmi tarikh Hari Raya Aidilfitri 1444 Hijrah /2023 Masihi akan dibuat oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja selaku pihak berkuasa yang diamanahkan oleh Majlis Raja-Raja setelah membuat cerapan hilal dan hisab seperti tahun-tahun sebelum ini.

Penetapan tarikh tersebut adalah tertakluk kepada hasil aktiviti cerapan anak bulan di 29 lokasi seluruh negara.

Tarikh melihat anak bulan telah ditetapkan seperti biasa iaitu pada 29 Ramadan, bersamaan 20 April bagi tahun ini. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.